
KUALA LUMPUR, 19 April – Karyawan serta penggiat industri kreatif diseru memainkan peranan sebagai pemangkin dalam memupuk gaya hidup sihat dalam komuniti, khususnya ketika musim perayaan.
- Pemimpin menegaskan sambutan perayaan tidak harus jadi alasan mengabaikan kesihatan; kawalan pemakanan dan had perlu diterapkan.
- Persatuan Karyawan menyeru artis jaga kesihatan, kurangkan gula dan makanan berminyak untuk elak penyakit kronik.
- Majlis tawarkan saringan kesihatan percuma, program kesejahteraan dan bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan termasuk penggiat seni.
- Pelancaran Kiosk Telekesihatan perkasakan akses pemeriksaan asas dan telekonsultasi digital untuk komuniti setempat.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan, karyawan bukan sekadar berperanan menghiburkan, sebaliknya mempunyai pengaruh besar dalam membentuk nilai dan gaya hidup masyarakat.
“Kita mahu semangat kebersamaan ini terus dipupuk… kita jadi pemangkin bersama artis lama dan baharu untuk menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, khususnya di Bandar Tun Razak,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Raya Karyawan Bersama Komuniti Sejahtera di Kompleks Sukan Desa Tasik, di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan sambutan perayaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan kesihatan, sebaliknya perlu disertai kawalan pemakanan dan amalan gaya hidup sihat.
“Dalam kita meraikan perayaan dan menikmati juadah, kita perlu membawa mesej jelas tentang kepentingan menjaga kesihatan, itu paling penting.
“Kalau mahu kita bangunkan masyarakat, kita kena fikir soal kesihatan dan sedar bahawa apa pun perayaan, semuanya perlu ada had,” katanya lagi.
Majlis anjuran Parlimen Bandar Tun Razak itu turut dihadiri Setiausaha Politik Perdana Menteri iaitu Datuk Azman Abidin dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Freddie Fernandez.
Dalam perkembangan sama, Datuk Freddie Fernandez berkata, penganjuran majlis berkenaan bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti sempena Aidilfitri, malah menjadi platform mempromosikan kesejahteraan sosial serta kesihatan awam.
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap tahap kesihatan dalam kalangan penggiat seni, khususnya melibatkan penyakit kronik, selain menegaskan komitmen berterusan Karyawan dalam memperjuangkan kebajikan artis termasuk isu royalti, bayaran, skim pencen dan perlindungan insurans dengan kerjasama kerajaan.
“Kepada rakan-rakan artis, nasihat saya sentiasa menjaga kesihatan, kurangkan pengambilan gula dan makanan berminyak, ramai artis yang sakit, ada masalah buah pinggang kerana mengambil gula yang terlalu banyak,” katanya.
Majlis yang menghimpunkan kira-kira 1,500 pengunjung itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti komuniti termasuk persembahan artis jemputan, saringan kesihatan percuma serta program kesejahteraan.
Selain aspek kesihatan, bantuan kebajikan turut disalurkan kepada golongan memerlukan termasuk penggiat seni, mencerminkan pendekatan menyeluruh dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti.
Dalam pada itu, Kiosk Telekesihatan turut dilancarkan sebagai inisiatif memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada komuniti setempat.
Kemudahan itu membolehkan orang ramai menjalani pemeriksaan asas seperti tekanan darah, komposisi badan dan tahap oksigen, selain mengakses laporan kesihatan secara digital serta mendapatkan khidmat telekonsultasi.
BIG CARING Group selaku penaja majlis, turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Karyawan sebagai sokongan terhadap kebajikan penggiat seni dan industri kreatif negara, selain 140 set Kotak Sumbangan RAHMAH kepada komuniti setempat.