Banjir lumpur Bukit Kiara: DBKL arah henti kerja, kaji semula projek pembangunan cerun

Foto Facebook Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 19 April – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan pemberhentian kerja serta-merta melibatkan sebuah projek di Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara, di sini, susulan kejadian banjir lumpur di Jalan Abang Haji Openg semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • DBKL kenakan kompaun kepada kontraktor; operasi pembersihan dijalankan JBPM bersama DBKL.
  • Datuk Bandar arah kaji semula semua kerja pembangunan cerun; garis panduan kerja tanah berfasa dan terkawal akan diperkenalkan.
  • JKR diarahkan jalankan siasatan teknikal terperinci untuk tentukan punca; JLN dan JKR diminta laksanakan langkah mitigasi segera demi keselamatan awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata kompaun juga dikenakan ke atas kontraktor yang terlibat manakala kerja pembersihan sedang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersama DBKL.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata projek itu berada di bawah Jabatan Landskap Negara (JLN) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Saya telah turun ke lokasi malam ini (18 April) bersama-sama dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud. DBKL mengambil tindakan serta-merta berikutan situasi kecemasan serta risiko yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk berhampiran,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.

Hannah berkata langkah-langkah segera yang telah diambil termasuk operasi pembersihan, membuka struktur penghadang di kawasan yang terlibat dan membaiki perangkap kelodak bagi mengawal aliran air permukaan.

Selain itu, katanya, DBKL juga telah menubuhkan pusat kawalan bagi menyelaras operasi di lokasi dengan anggota JBPM berada dalam keadaan siap siaga untuk membantu operasi kecemasan sekiranya diperlukan.

Beliau berkata Datuk Bandar telah mengarahkan semua pihak terlibat untuk menghadiri mesyuarat tergempar bagi menilai semula pelan mitigasi dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh kontraktor untuk memasti kejadian tidak berulang.

“Beliau (Fadlun) juga memutuskan semua kerja pembangunan cerun di sekitar Taman Persekutuan Bukit Kiara dikaji semula. Satu garis panduan pembangunan kerja tanah secara berfasa dan terkawal akan diperkenalkan di kawasan tersebut,” katanya.

Hannah menegaskan DBKL akan terus memperketatkan kawal selia kerja tanah di kawasan cerun manakala kerja tersebut tidak lagi dibenarkan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa kawalan sebaliknya mesti dilaksanakan secara berfasa dan terkawal.

“Saya juga menggesa JKR dan JLN untuk mengambil langkah mitigasi dengan segera bagi mengelakkan kejadian berulang. Keselamatan awam mesti menjadi keutamaan dan semua pihak yang bertanggungjawab perlu bertindak dengan segera serta penuh komitmen,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini berkata JKR telah diarahkan untuk menjalankan siasatan teknikal terperinci bagi menentukan punca sebenar kejadian banjir yang menyebabkan runtuhan tembok penahan berhampiran Fasa 1B di Jalan Abang Haji Openg di Taman Tun Dr Ismail. -BERNAMA