
KUALA LUMPUR, 19 April – Keselamatan dan kestabilan di Selat Melaka kekal terjamin walaupun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik.
- Malaysia, Indonesia dan Singapura terus komited kepada prinsip kebebasan pelayaran serta aliran perdagangan antarabangsa.
- Kestabilan Selat Melaka terjamin dan situasinya berbeza daripada konflik berskala rantau lain.
- Malaysia mengambil sikap berkecuali; isu global tidak dijadikan agenda utama DSA & NATSEC 2026.
- DSA kekal platform neutral untuk pameran keupayaan teknologi, kerjasama dan penilaian perolehan pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia bersama Indonesia dan Singapura terus komited mempertahankan prinsip kebebasan pelayaran serta aliran perdagangan antarabangsa di laluan strategik tersebut.
Jelas beliau, keadaan di Selat Melaka tidak boleh disamakan dengan konflik di rantau lain, termasuk Asia Barat.
Ia susulan, ketiga-tiga negara pesisir berpegang teguh kepada undang-undang antarabangsa dan kerjasama serantau.
“Kita tidak berdepan situasi seperti negara-negara yang terlibat dalam konflik. Malaysia, Indonesia dan Singapura kekal komited kepada prinsip perdagangan bebas dan navigasi terbuka,” katanya.
Beliau dalam pada itu mengakui, konflik global termasuk ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran memberi kesan kepada rantaian perdagangan serta logistik antarabangsa.
Datuk Seri Mphamed Khaled bagaimanapun menegaskan, Malaysia mengambil pendekatan berkecuali dan tidak akan menjadikan isu tersebut sebagai agenda utama dalam platform rasmi seperti Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia 2026 (DSA & NATSEC Asia 2026).
Jelas beliau lagi, Kuala Lumpur akan terus menyokong usaha ke arah penyelesaian aman.
“Apa yang kita mahu ialah semua pihak, khususnya kuasa besar yang terlibat, dapat mencapai penyelesaian secara damai demi kestabilan global,” katanya.
Mengulas mengenai penyertaan antarabangsa dalam pameran itu, beliau berkata terdapat negara yang tidak dapat mengambil bahagian tahun ini berikutan cabaran logistik dan perdagangan, bukan disebabkan faktor politik.
Tambah beliau, DSA kekal sebagai platform neutral bagi negara dan syarikat pertahanan mempamerkan keupayaan teknologi masing-masing, selain membuka ruang kerjasama dan penilaian perolehan aset pertahanan.
“Pada akhirnya, ia memberi peluang kepada Malaysia untuk menilai dan membuat keputusan terbaik dalam aspek perolehan pertahanan,” ujar beliau.