
KUALA LUMPUR, 14 Mei– Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menuntut ganti rugi daripada syarikat pertahanan Norway, Kongsberg susulan kegagalan membekalkan sistem peluru berpandu untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
- Kerajaan telah membayar hampir 95 peratus daripada nilai kontrak melebihi RM600 juta.
- MINDEF menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti tindakan undang-undang dan menganggarkan jumlah tuntutan termasuk pemulangan bayaran dan ganti rugi.
- Kementerian sedang menilai sistem persenjataan alternatif bagi memastikan kesiapsiagaan negara dan kelancaran jadual penghantaran aset pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian akan turut mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan kerana melanggar syarat kontrak yang dipersetujui.
Menurut beliau, kerajaan telah membuat pembayaran hampir 95 peratus daripada nilai kontrak melebihi RM600 juta.
Kontrak itu melibatkan pembekalan sistem peluru berpandu surface-to-surface bagi kegunaan TLDM.
“Kita bukan sahaja akan menuntut semula bayaran yang telah dibuat, tetapi turut mengambil kira kerugian yang timbul akibat pelanggaran kontrak tersebut,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Peluncuran Program ProWira Ready-To-Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2026, di sini, hari ini.
Tambah beliau, MINDEF telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti proses tindakan undang-undang termasuk membuat anggaran jumlah tuntutan terhadap syarikat terbabit.
Dalam masa sama, kementerian sedang menilai beberapa sistem persenjataan alternatif bagi memastikan kesiapsiagaan pertahanan negara tidak terjejas.
Usaha itu juga bagi memastikan jadual penghantaran aset pertahanan dapat diteruskan.
Datuk Seri Mohamed Khaled dijangka mengadakan lawatan kerja ke Lumut, Perak pada Selasa depan bagi mendapatkan perkembangan lanjut projek berkenaan.
Mengenai Program ProWira RTW Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 pula, beliau memaklumkan RM7.2 juta telah disalurkan.
Ia bagi melatih 300 graduan terdiri daripada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran dan warga MINDEF.
Program selama 12 bulan itu menawarkan latihan pekerjaan di syarikat terpilih dengan elaun RM2,000 sebulan yang dibiayai menerusi Yayasan LTAT.
Peserta turut berpeluang memperoleh pengalaman kerja industri selain dipertimbangkan untuk diserap sebagai pekerja tetap selepas tamat latihan.