
PETALING JAYA, 14 Mei– Malaysia dan Australia memperkukuh kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta infrastruktur digital menerusi pelancaran pusat data antarabangsa, KL1 Kuala Lumpur.
- Pelaburan RM2.8 bilion oleh penyedia infrastruktur Australia NEXTDC memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab AI dan digital serantau.
- KL1 Kuala Lumpur ialah pusat data AI pertama NEXTDC, kapasiti IT sehingga 65 megawatt dan dibina mengikut standard reka bentuk Tier IV.
- Inisiatif ini dijangka merangsang aktiviti ekonomi, menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan dan menyokong pembangunan tenaga kerja digital.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelaburan jangka panjang bernilai RM2.8 bilion itu dibuat oleh penyedia infrastruktur digital Australia, NEXTDC.
Jelas beliau, ia menjadi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab AI dan digital serantau.
“Kemudahan berteknologi tinggi tersebut bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem digital negara, malah menjadi asas kepada pembangunan teknologi masa depan yang lebih selamat dan berdaya tahan.
Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan potensi besar ekonomi digital, khususnya dalam era teknologi baharu ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Pelancaran NEXTDC KL1 Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Gobind berkata, kerajaan turut memberi tumpuan terhadap usaha membangunkan ekosistem AI yang kukuh, selamat, mampan dan ditadbir dengan baik selaras sasaran menjadi negara AI menjelang 2030.
Ujar beliau lagi, kerjasama strategik itu dijangka menjadi pemangkin aktiviti ekonomi selain menyokong pertumbuhan industri digital, menarik pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan dan pembangunan tenaga kerja.
NEXTDC merupakan antara pemain industri pusat data terkemuka berpangkalan di Brisbane, Australia manakala KL1 Kuala Lumpur ialah pusat data antarabangsa pertama milik syarikat berkenaan.
Kemudahan yang terletak di Lembah Klang itu direka sebagai pusat data AI dengan kapasiti teknologi maklumat (IT) sehingga 65 megawatt.
Ia turut dibangunkan mengikut standard reka bentuk Tier IV yang menjadi penanda aras baharu bagi prestasi dan ketahanan infrastruktur digital negara.