‘Belia jangan tamak, cepat terpedaya dengan ganjaran di media sosial’

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bergambar bersama para pelajar pada Program Semarak Belia @ Hari Belia Negara (SB @ HBN) 2026 Peringkat Kawasan Cheras dan Bandar Tun Razak/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Golongan belia dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terhadap penipuan serta pengaruh negatif di media sosial dan platform digital yang semakin membimbangkan ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jangan tamak mengejar ganjaran mudah di media sosial; elak terpedaya oleh penipuan dan kandungan palsu.
  • Bina jati diri kukuh dengan ilmu dan akhlak untuk menghadapi cabaran dunia moden.
  • Manfaatkan teknologi dan platform digital untuk pembangunan diri serta keusahawanan berfaedah kepada agama dan negara.
  • Anak muda bakal menjadi pengundi dan pemimpin; pegang ilmu betul serta akhlak mulia.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata generasi muda perlu membina jati diri yang kukuh selain berpegang kepada ilmu dan akhlak dalam mendepani cabaran dunia moden.

“Dengan teknologi sekarang perlu lebih berhati-hati. Ada yang palsu, ada yang menipu, ada yang scammer. Jangan terlalu tamak, jangan terlalu mengejar ganjaran yang mudah.

“Anak-anak muda semua, sekolah menengah akan keluar menjadi belia, akan menjadi pengundi, akan menjadi pemimpin masa depan. Peganglah pada ilmu yang betul, akhlak yang mulia,” katanya ketika berucap di Program Semarak Belia @ Hari Belia Negara (SB @ HBN) 2026 Peringkat Kawasan Cheras dan Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Sabran Abdil Bahar dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.

Beliau yang juga isteri Perdana Menteri turut menyeru golongan muda agar memanfaatkan teknologi ke arah pembangunan diri dalam bidang keusahawanan.

“Gunakanlah tenaga, idea dan potensi yang ada untuk membawa manfaat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Program yang disertai kira-kira 500 peserta itu hari ini di harap dapat menyuntik semangat golongan belia untuk terus maju ke hadapan.