
KUALA TERENGGANU, 14 Mei– Keluarga dua beradik yang lemas di Kampung Jeram, Manir menerima sumbangan RM4,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Sumbangan disampaikan Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif ketika menziarahi keluarga mangsa.
- Sumbangan itu diserahkan kepada nenek mangsa, Esah Salleh, 76, sebagai tanda simpati terhadap tragedi keluarga.
- Ibu mangsa, Suria Sulong, 34, ialah ibu tunggal dan OKU lembam sejak lahir, dijaga oleh nenek.
- Dua beradik, 15 dan 12, lemas selepas dihanyutkan arus, mayat ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air dan dikebumikan.
Sumbangan disampaikan Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Abdul Kahar Abdul Latif ketika menziarahi keluarga mangsa, petang tadi.
Sumbangan itu diserahkan kepada nenek mangsa, Esah Salleh, 76, sebagai tanda simpati terhadap tragedi yang menimpa.
“Beliau turut menjaga ibu mangsa, Suria Sulong, 34 tahun yang merupakan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) lembam sejak lahir.
Semoga bantuan daripada Perdana Menteri ini dapat meringankan sedikit beban keluarga berkenaan dan kita akan bantu apa juga keperluan mereka pada masa akan datang,” katanya.
Menurut Datuk Abdul Kahar, keluarga mangsa sebelum ini turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pihak swasta bagi meneruskan kehidupan harian.
Dalam kejadian Selasa lalu, Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, dan adik tirinya, Nur Shahila Shahirah Azman, 12, dipercayai mandi bersama dua lagi rakan sebelum dihanyutkan arus deras.
Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya ditemukan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di dasar sungai.
Jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram Manir, petang semalam.