Lebih RM2.72 bilion dijimatkan melalui reformasi ARPA sejak 2024

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Pelaksanaan pembaharuan bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) berjaya menjana penjimatan kos kawal selia melebihi RM2.72 bilion sejak 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan 1,171 projek ARPA menambah baik proses kerja dan reformasi birokrasi dalam sektor awam.
  • Sistem e-Penghulu memendekkan pendaftaran bantuan dari satu jam kepada lima minit; E10 memendekkan kelulusan permit pembinaan.
  • Pengenalan Sistem Penilaian DEEP tingkatkan prestasi projek 122%, kurangkan projek tergendala 45% serta kukuhkan tadbir urus dan keyakinan pelabur.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pencapaian itu direkodkan menerusi pelaksanaan 1,171 projek melibatkan penambahbaikan proses kerja dan reformasi birokrasi dalam sektor awam.

Menurut beliau, kejayaan yang dicapai membuktikan reformasi tadbir urus bukan sekadar retorik dasar, sebaliknya menghasilkan impak nyata termasuk pengurangan kos, mempercepat proses kelulusan, meningkatkan daya saing serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam.

“Antara inisiatif reformasi yang dilaksanakan ialah mempercepat proses pendaftaran maklumat bagi bantuan bencana dan permohonan eKasih daripada satu jam kepada hanya lima minit menerusi pelaksanaan sistem e-Penghulu.

“Selain itu, reformasi dalam pengurusan permit pembinaan di Majlis Perbandaran Kulim berjaya memendekkan tempoh kelulusan daripada 24 bulan kepada 10 bulan menerusi sistem E10.

“Pada masa sama, reformasi yang dilaksanakan di Majlis Perbandaran Kulai turut berjaya mengurangkan tempoh proses kelulusan daripada 24 bulan kepada 14 bulan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rundingan Meja Bulat (RTD) bersama Ahli-Ahli Perniagaan di sini, hari ini.

Tambah beliau, dalam aspek penilaian prestasi pula, kerajaan buat pertama kali memperkenalkan Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) melibatkan semua pegawai pengawal dan ketua setiausaha.

Sehingga Disember 2025, pelaksanaan sistem itu merekodkan peningkatan prestasi pelaksanaan projek sebanyak 122 peratus, selain berjaya mengurangkan projek tergendala sebanyak 45 peratus dan projek lewat sebanyak 16 peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, usaha kerajaan memperkukuh agenda reformasi tadbir urus negara bertujuan meningkatkan keyakinan pelabur serta memperbaiki ekosistem perniagaan di Malaysia.

Antara inisiatif yang diberi penekanan ialah Akta Komitmen Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang bertujuan memperkukuh integriti, akauntabiliti serta kecekapan institusi dalam sektor awam dan swasta.

Selain itu, inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) turut diberi perhatian dalam usaha mempertingkat kemudahan menjalankan perniagaan, mempercepat proses kelulusan serta mengurangkan kerenah pentadbiran.

Pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan 2025 pula bertujuan memperkukuh ketelusan, keadilan dan akauntabiliti dalam sistem perolehan awam, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur serta penyertaan sektor swasta.

Menurut beliau, pelabur kini bukan sahaja menilai insentif tradisional, malah turut menitikberatkan kualiti tadbir urus, kejelasan dasar, kecekapan institusi serta kestabilan jangka panjang sebelum membuat keputusan pelaburan.