Naik taraf Persimpangan Batu 9 Cheras siap awal, atasi kesesakan trafik

Projek Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT3210 dari Persimpangan Jalan Dato’ Alias ke Persimpangan Batu 9, Cheras./RTM

HULU LANGAT, 14 Mei Pembukaan Jalan Persekutuan FT3210 dari Persimpangan Jalan Dato’ Alias ke Persimpangan Batu 9, Cheras yang telah dinaik taraf, dapat mengurangkan kesesakan trafik yang sekian lama dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek RM123.66 juta menaik taraf FT3210 kepada empat lorong sejauh 1 km dan membina jejambat dua lorong satu hala di Persimpangan Batu 9.
  • Kajian trafik mencatat purata 28,572 kenderaan dalam 16 jam dengan tahap perkhidmatan jalan sangat tinggi serta tekanan kesesakan.
  • Projek disiapkan 33 hari lebih awal, memperoleh Sijil Perakuan Siap Kerja 31 Mac dan memenuhi piawaian hasil kerjasama semua pihak.

Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Roslan Ismail berkata projek yang bermula pada 2021 itu bakal mengatasi isu kesesakan trafik khususnya pada waktu puncak dari Hulu Langat menghala Kuala Lumpur.

“Berdasarkan kajian trafik, laluan tersebut merekodkan purata sebanyak 28,572 kenderaan dalam tempoh 16 jam dengan tahap perkhidmatan jalan berada pada tahap kesesakan yang sangat tinggi.

“Keadaan ini memberi kesan kepada kelancaran dan masa perjalanan yang lebih panjang serta risiko keselamatan jalan raya,” katanya dalam Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT3210 di sini hari ini.

Projek bernilai RM123.66 juta itu dibuka 1 April 2026, melibatkan kerja menaik taraf jalan kepada empat lorong sepanjang satu kilometer, selain pembinaan jejambat dua lorong satu hala dari arah Hulu Langat merentasi persimpangan Batu 9, Cheras.

Menurutnya, projek tersebut berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual ditetapkan apabila memperoleh Sijil Perakuan Siap Kerja pada 31 Mac lalu, iaitu 33 hari lebih awal daripada jadual asal.

Sepanjang pelaksanaan projek tersebut, beberapa cabaran dihadapi termasuk keadaan tapak yang terhad di kawasan bandar, trafik sedia ada yang tinggi serta penyelarasan utiliti.

Bagaimanapun, katanya, projek tersebut berjaya disiapkan mengikut piawaian yang ditetapkan hasil kerjasama semua pihak terlibat.