Empat kes disyaki kencing tikus stabil

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad/ Foto BERNAMA

SERI ISKANDAR, 14 Mei – Seorang pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana disyaki mengalami leptospirosis atau kencing tikus telah dibenarkan pulang, Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga lagi kes dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Kuartes KLIA; semua pesakit kini stabil.
  • JKNNS mengesan empat kes disyaki leptospirosis di taman rekreasi Kuala Pilah selepas aktiviti air; sampel klinikal diambil untuk pengesahan.
  • Pusat rekreasi air ditutup sementara sehingga 17 Mei untuk pembersihan; orang ramai diingatkan elak pembiakan tikus dan segera dapatkan rawatan.

Kanak-kanak tersebut sebelum ini menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tiga lagi kes yang turut mengalami gejala penyakit itu telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Kuartes KLIA.

Kesemua pesakit berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan lanjut.

“Peringatan saya kepada mereka yang berkelah dan juga di rumah, pastikan bahawa kita tidak menjadi punca pembiakan tikus yang menghasilkan penyakit leptospirosis ini.

“Sekiranya mengalami gejala-gejala awal seperti deman, segera dapatkan rawatan di klinik,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) mengesan empat kes disyaki wabak leptospirosis di sebuah taman rekreasi di Kuala Pilah.

Menurut JKNNS, kesemua individu itu mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan sakit otot selepas mengunjungi serta menjalankan aktiviti air di kawasan rekreasi berkenaan.

Sampel klinikal telah diambil bagi tujuan pengesahan jangkitan leptospirosis.

Susulan itu, pusat rekreasi air di daerah berkenaan ditutup sementara sehingga 17 Mei bagi kerja pembersihan dan penyelenggaraan.