
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memberi tumpuan kepada usaha menangani ketirisan bahan api, berbanding membincangkan perkara berkaitan penyelarasan kuota subsidi petrol RON95.
- KPDN utamakan usaha bendung ketirisan bahan api melalui Op Tiris 4.0, bukan penyelarasan kuota RON95.
- Perketat kawalan sempadan dan kerjasama agensi penguatkuasaan bagi menangani penyeludupan serta melindungi subsidi petrol dan diesel.
- Perhebat kerjasama dengan industri dan peruncit, galak guna semula pembungkusan serta tingkatkan pendidikan 3R untuk kurangkan kos.
Timbalan Menterinya Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pihaknya mahupun kabinet tidak membincangkan atau membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu, setakat ini.
Sebaliknya, keutamaan Kementerian adalah memperkukuh pelaksanaan Op Tiris 4.0 bagi membendung penyeludupan dan ketirisan bahan api bersubsidi.
Datuk Dr. Fuziah berkata operasi itu penting bagi memastikan sumber negara dilindungi dan tiada ketirisan berlaku, khususnya di kawasan sempadan termasuk Sabah dan Sarawak.
“Pada masa ini, kami memberi tumpuan kepada Op Tiris 4.0 kerana selagi petrol dan diesel negara masih mempunyai subsidi, risiko ketirisan adalah tinggi. Justeru, kami memberikan penekanan besar dengan bekerjasama rapat bersama agensi lain menerusi Op Tiris 4.0.
“Kami memperketat kawalan di sempadan dan bekerjasama dengan agensi seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan sumber negara terus terpelihara dan tiada ketirisan berlaku,”katanya kepada media selepas menghadiri program Mega Growth Strategies 2026 di sini, hari ini.
Selain menangani ketirisan subsidi bahan api, KPDN turut mempergiat kerjasama strategik bersama peneraju industri serta peruncit bagi menangani peningkatan kos bahan pembungkusan yang dilihat memberi kesan langsung kepada harga barangan pengguna.
Datuk Dr. Fuziah berkata kerjasama erat antara kementerian, industri dan pengguna penting bagi memastikan sektor perdagangan domestik kekal mampan serta berdaya tahan berdepan cabaran kenaikan kos semasa.
Antara pendekatan yang sedang diberi perhatian ialah menggalakkan penggunaan semula bahan pembungkusan termasuk plastik bagi produk seperti minyak masak, detergen dan syampu sebagai langkah mengurangkan tekanan kos selain memperkukuh amalan kelestarian.
“Kita perlu pastikan industri terus kekal lestari. Antara cabaran utama ketika ini ialah kenaikan kos bahan pembungkusan khususnya plastik yang semestinya memberi impak kepada harga produk.
“Justeru, kita terbuka untuk bekerjasama dengan industri dan peruncit termasuk menerusi pendekatan penggunaan semula bahan pembungkusan, di samping memperhebat pendidikan pengguna mengenai amalan 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula,” katanya.
Menurutnya, kesedaran pengguna terhadap konsep 3R perlu terus diperkasa memandangkan keadaan semasa menuntut pendekatan lebih agresif dalam mengawal kos sara hidup dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah yang mahal.