Penstrukturan semula 36 politeknik perkasa penawaran pengajian

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

PONTIAN, 14 Mei -Usaha penstrukturan semula 36 politeknik di seluruh negara sedang dirangka, bagi memperkasa peranannya agar tidak lagi terhad kepada penawaran sijil dan diploma semata-mata, sebaliknya berupaya menawarkan pengajian pada peringkat ijazah dan sarjana.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian menilai ekosistem dan kursus politeknik untuk meningkatkan relevansi pendidikan dan penawaran program.
  • Semakan akta berkaitan sedang dijalankan; cadangan penstrukturan semula akan dikemukakan hujung tahun atau awal tahun hadapan.
  • Bidang berpotensi: kecerdasan buatan, elektrik dan elektronik, serta semikonduktor untuk memenuhi keperluan industri semasa.
  • Politeknik perlu diperkasa ke tahap lebih tinggi agar melahirkan tenaga kerja mahir, bukan hanya fokus kemahiran pertengahan atau rendah.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, usaha itu melibatkan penilaian ekosistem politeknik, serta kursus-kursus yang ditawarkan.

Katanya, kementerian sedang meneliti semula akta berkaitan dan dijangka mengemukakan cadangan penstrukturan semula melibatkan kesemua 36 institusi itu pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

Menurut beliau, antara kursus berpotensi dengan keperluan semasa, ialah dalam bidang kecerdasan buatan (AI), elektrik dan elektronik (E&E) dan juga semikonduktor.

“Malaysia merupakan antara pengeluar semikonduktor terbesar di dunia. Oleh yang demikian, peranan politeknik perlu dilihat semula, termasuk struktur sedia ada.

“Ini kerana politeknik tidak boleh lagi berfungsi hanya pada peringkat kemahiran pertengahan atau kemahiran rendah. Sebaliknya, politeknik perlu diperkasa pada tahap yang lebih tinggi bagi melahirkan tenaga kerja mahir,”katanya kepada media selepas majlis pecah tanah Kolej Komuniti Pontian di Kompleks Penghulu Mukim Benut, di sini.