AIAC sedia khidmat pengantaraan percuma untuk 26 jenis pertikaian komersial

Kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) akan menyediakan khidmat pengantaraan bagi menyelesaikan 26 jenis pertikaian komersial secara percuma melibatkan tuntutan bernilai RM250,000 dan ke bawah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran Pengantaraan Komersial Pro Bono AIAC pada 18 Mei untuk memperluas akses rakyat kepada sistem keadilan.
  • Meliputi pertikaian sektor pembekalan, jual beli, pemasaran, hartanah, syarikat, e-dagang dan ekonomi digital.
  • Seramai 170 pengantara tempatan dan antarabangsa menyokong serta bersedia mengendalikan mediasi secara percuma.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata inisiatif dikenali sebagai Pengantaraan Komersial Pro Bono AIAC itu akan dilancarkan pada 18 Mei ini bagi memperluas akses rakyat kepada sistem keadilan negara.

Menurut beliau, antara pertikaian yang boleh dirujuk termasuk membabitkan sektor perkhidmatan, pembekalan, jual beli, pemasaran, hartanah, syarikat dan perkongsian, e-dagang serta ekonomi digital.

“Orang ramai boleh merujuk pertikaian komersial secara terus kepada AIAC atau menerusi dalam talian.

“Pendekatan ini dijangka memberi manfaat penting khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan usahawan, penggiat industri kreatif serta rakyat yang berhadapan dengan pertikaian bernilai kecil,” katanya menerusi kenyataan media pada Khamis.

Tambah beliau, seramai 170 pengantara tempatan dan antarabangsa turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif itu serta bersedia mengendalikan proses mediasi secara percuma setakat ini.

Katanya, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh akses kepada keadilan yang lebih cepat, mudah diakses dan berkesan untuk rakyat.