Peruntukan program WBL dipertingkatkan kepada RM9.9 juta, iktiraf pengalaman anggota ATM

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program itu menyasarkan penyertaan 1,520 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama 12 institusi pengajian tinggi (IPT). Foto BERNAMA

MELAKA, 15 Mei – Kementerian Pertahanan memperuntukkan hampir RM10 juta bagi memperluas Program Work-Based Learning (WBL) pada 2026, meningkat daripada RM3 juta tahun lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program itu menyasarkan penyertaan 1,520 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama 12 institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau berkata, inisiatif tersebut bertujuan mengiktiraf pengalaman, kemahiran dan kompetensi anggota ATM sebagai kelayakan akademik menerusi pembelajaran berasaskan pengalaman serta latihan di tempat kerja tanpa menjejaskan tugas hakiki.

“Konsep WBL yang sebelum ini banyak dilaksanakan dalam sektor industri kini diperluaskan kepada ATM bagi memastikan anggota turut mendapat pengiktirafan setara berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran WBL 2.0 di Dewan Serbaguna, Kem Terendak, di sini.

Dalam majlis sama, turut berlangsung pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara ATM dan beberapa IPT termasuk UPNM, UiTM serta City University Malaysia bagi mengukuhkan kerjasama strategik program tersebut.

Datuk Seri Mohamed Khaled turut menyampaikan sijil tamat pengajian kepada 30 peserta Kohort 1/2025 dan surat tawaran kepada 20 peserta baharu Kohort 2/2026.

Sehingga kini, seramai 461 anggota ATM menerima manfaat Program WBL, melibatkan 231 peserta di UiTM dan 230 di UPNM, dengan kesemuanya dijangka menamatkan pengajian pada November dan Disember ini.