Langkah penjimataan KBS tidak jejaskan kualiti atlet

Dr Mohammed Taufiq Johari

SENDAYAN, 15 Mei – Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari memberi jaminan bahawa langkah penjimatan yang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan menjejaskan kualiti persiapan atlet negara menjelang temasya sukan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah penjimatan melibatkan pengurusan kos dan perbelanjaan tanpa menjejaskan pembangunan sukan dan kebajikan atlet.
  • Penjimatan tidak melibatkan pengurangan kualiti persiapan atlet.
  • Penglibatan dalam sukan, mutu sukan dan sasaran pingat dikekalkan tanpa sebarang pengurangan.
  • Sambutan Hari Belia Negara 2026 menampilkan lima segmen, lebih 169 program, dan dijangka disertai kira-kira 150,000 belia.

Langkah penjimatan itu kini dalam perbincangan dan melibatkan aspek pengurusan kos serta perbelanjaan yang boleh diperincikan tanpa menjejaskan pembangunan sukan dan kebajikan atlet.

“Namun, perkara yang paling penting ingin kita tekankan ialah langkah penjimatan ini tidak melibatkan pengurangan kualiti persiapan atlet.

“Ia juga tidak menjejaskan penglibatan dalam sukan mahupun mutu sukan itu sendiri. Pada masa sama, sasaran pingat yang ditetapkan tetap dikekalkan tanpa sebarang pengurangan.

“Maksudnya, penjimatan lebih melibatkan perkara lain yang tidak berkaitan secara langsung dengan sukan atau atlet. Kita tetap memastikan kualiti persiapan dan kebajikan atlet terus terjamin, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Belia Negara 2026 di sini.

Sambutan Hari Belia Negara 2026 dimeriahkan dengan lima segmen utama iaitu Penciptaan dan Peluang Pekerjaan; Kepimpinan, Kesukarelawanan dan Pengantarabangsaan; Malaysia Aktif; Inovasi dan Digital; serta Kebudayaan, Kesenian dan Muzik.

Sepanjang tiga hari penganjuran bermula hari ini hingga 17 Mei, pengunjung bakal disajikan dengan lebih 169 pengisian program yang mengetengahkan pelbagai aktiviti berteraskan pembangunan belia.

Kira-kira 150,000 belia dijangka memeriahkan sambutan berkenaan yang membawa tema Menggerak Belia MADANI.