Masters Malaysia: Arif-Roy King sasar separuh akhir

Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi (kanan)

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Beregu lelaki negara, Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi optimis mampu menghadirkan cabaran sengit pada Kejohanan Malaysia Masters minggu depan meskipun berdepan cabaran kecergasan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran pasangan sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir berdasarkan undian dianggap positif.
  • Wan Arif baru kembali berlatih selepas pulih daripada kecederaan lutut dan masih memakai pelindung lutut.
  • Roy King berjaya menurunkan lima kilogram, meningkatkan pergerakan dan liputan gelanggang.
  • Pasangan akan membuka kempen Malaysia Masters menentang beregu Taiwan He Zhi Wei dan Huang Jui Hsuan.

Pasangan ranking ke-16 dunia itu meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir berdasarkan undian kejohanan yang dianggap agak positif buat mereka.

Bagaimanapun, Roy King mengakui mereka perlu bekerja lebih keras memandangkan Wan Arif baru sahaja kembali menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan lutut.

“Berdasarkan undian, sasaran kami sememangnya mahu mara ke separuh akhir. Namun, Arif baru sahaja pulih daripada kecederaan dan minggu ini baru kembali menjalani latihan.

“Dia juga masih memakai pelindung lutut, jadi kami akan melihat terlebih dahulu keadaannya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Dalam pada itu, Roy King turut mendedahkan beliau berjaya menurunkan berat badan sebanyak lima kilogram dalam usaha meningkatkan prestasi permainan terutama dari aspek pergerakan di gelanggang.

“Saya rasa pergerakan saya dalam gelanggang sebelum ini agak perlahan, jadi saya cuba menurunkan berat badan. Setakat ini, memang ada peningkatan terutama dari segi liputan gelanggang,” katanya.

Pasangan negara itu dijadual membuka kempen Malaysia Masters menentang beregu Taiwan, He Zhi Wei-Huang Jui Hsuan pada pusingan pertama.