
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Sindiket penipuan dalam talian rangkaian antarabangsa berjaya dilumpuhkan, manakala 187 warga asing ditahan menerusi Op Teguh 2.0 yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman pada 6 hingga 7 Mei lalu.
- Serbuan di 46 lokasi termasuk kondominium mewah sekitar Lembah Klang.
- 129 warga China, 23 warga tempatan serta warga Jepun, Vietnam, Indonesia; 151 lelaki dan 36 wanita disyaki terlibat.
- Sindiket jalankan calling centre, love scam, perjudian dalam talian dan penipuan pelaburan menggunakan platform digital.
- Rampasan bernilai RM57.68 juta termasuk tiga hartanah, 20 kenderaan mewah, jam tangan, barang kemas, gold bar, 556 peranti, wang tunai dan aset kripto.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, operasi berskala besar itu membabitkan serbuan di 46 lokasi termasuk kondominium mewah di sekitar Lembah Klang.
“Daripada jumlah keseluruhan tangkapan, 129 suspek merupakan warga China diikuti 23 warga tempatan serta beberapa warga asing lain termasuk Jepun, Vietnam dan Indonesia.
“Mereka terdiri daripada 151 lelaki dan 36 wanita, dipercayai terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian rentas sempadan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Hasil siasatan mendapati, sindiket tersebut menjalankan pelbagai aktiviti jenayah termasuk ‘calling centre’, ‘love scam’, perjudian dalam talian dan penipuan pelaburan tidak wujud menggunakan pelbagai platform digital sebagai medium utama jenayah.
Dalam operasi tersebut, polis turut merampas aset serta harta dipercayai hasil kegiatan jenayah bernilai keseluruhan RM57.68 juta.

“Rampasan melibatkan tiga hartanah mewah bernilai RM38 juta, 20 kenderaan mewah bernilai RM6.58 juta, selain barangan mewah seperti jam tangan, barang kemas dan gold bar bernilai RM12 juta.
“Turut disita, 556 peranti digital, wang tunai, mata wang asing serta aset mata wang kripto,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 dan Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Siasatan lanjut kini diteruskan bagi mengenal pasti dalang utama serta keseluruhan rangkaian sindiket terbabit.