
TUMPAT, 4 Jun – Lebih satu tan beras dipercayai diseludup dari Thailand sebelum dijual di sekitar Kota Bharu dibongkar Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pengkalan Haram Simpangan, Kampung Simpangan, pagi semalam.
- PGA merampas pelbagai jenis beras dan sebuah SUV, dengan anggaran nilai RM36,665.
- Pemeriksaan kenderaan menemui empat jenis beras pelbagai jenama berjumlah 1,385 kilogram.
- Semua suspek melarikan diri ke seberang sungai; tiada tangkapan, kes dirujuk kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan.
Rampasan membabitkan pelbagai jenis beras dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) itu dianggarkan bernilai RM36,665.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA mengesan beberapa lelaki sedang memunggah guni beras dari sebuah perahu ke dalam sebuah kenderaan.
Beliau berkata, sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan, semua suspek bertindak melarikan diri dengan menaiki perahu menuju ke tebing Sungai Golok di sebelah Thailand.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan di lokasi menemukan pelbagai jenis beras yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
“Rampasan membabitkan empat jenis beras pelbagai jenama dengan jumlah keseluruhan 1,385 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, tiada tangkapan dibuat kerana semua suspek berjaya melarikan diri ke negara jiran sebaik menyedari kehadiran anggota PGA.
“Rampasan telah diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negara Negeri Kelantan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.