
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Selepas penantian hampir sembilan tahun, penyanyi popular Andi Bernadee akhirnya muncul dengan album sulung berjudul “Ding Geding”, menandakan satu pencapaian besar dalam perjalanan seni beliau.
- Album memuatkan 12 lagu yang mencerminkan pelbagai emosi dan pengalaman hidup.
- "Ding Geding" menggambarkan himpunan rasa realiti kehidupan; gembira, kecewa, bingung dan bahagia.
- Lagu tumpuan "Seksa Jiwa" sebuah balada soul yang mencabar kemampuan vokal beliau.
- Judul diilhamkan oleh filem klasik Ahmad Albab; pelancaran simbol kebangkitan selepas masalah kesihatan, distrim 5 Jun 2026.
Album yang memuatkan 12 lagu itu mengetengahkan pelbagai emosi dan pengalaman hidup, mencerminkan perkembangan Andi sebagai penyanyi dan penulis lagu sejak mula bertapak dalam industri muzik tempatan.
Andi menyifatkan “Ding Geding” sebagai himpunan rasa yang menggambarkan realiti kehidupan manusia yang sentiasa berubah.
“Dalam album ini ada rasa gembira, kecewa, bingung dan bahagia. Semua itu saya satukan kerana itulah kehidupan sebenar,” katanya.
Antara lagu yang menjadi tumpuan ialah “Seksa Jiwa”, sebuah balada soul yang mencabar kemampuan vokalnya di luar kebiasaan.
“Lagu itu agak mencabar kerana bukan genre biasa saya, tapi hasilnya sangat saya suka,” jelasnya.
Judul album “Ding Geding” pula diilhamkan daripada babak dalam filem klasik Melayu Ahmad Albab, yang kemudian dijadikan konsep kreatif yang lebih santai dan mudah diingati.
“Saya mahu sesuatu yang unik dan melekat di ingatan,” katanya.
Lebih menyentuh hati, pelancaran album ini turut menjadi simbol kebangkitan Andi selepas berdepan masalah kesihatan yang menyebabkan projek tersebut tertangguh sebelum ini.
“Saya sangat bersyukur. Saya tunggu sembilan tahun untuk album ini menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berharap album ini mampu menjadi teman kepada pendengar dalam pelbagai situasi emosi.
“Kalau ada lagu yang boleh menemani mereka, itu sudah cukup bermakna,” ujarnya.
Album “Ding Geding” akan mula distrim di semua platform digital bermula rabu 5 Jun 2026.