
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengangkat naskhah terbaharu terbitan Unit Drama TV RTM bertajuk ‘Camar Poelang’ khas sempena meraikan sambutan Hari Bapa.
- Camar Poelang mengangkat pengorbanan bapa tunggal membesarkan anak OKU, menghadapi ujian dan tragedi yang menuntut pengorbanan emosi.
- Cerita bukan linear dan sarat mesej kemanusiaan, mengajak penonton menilai pelbagai aspek kehidupan.
- Penggambaran 14 hari di perkampungan nelayan Terengganu memberi latar autentik kepada kisah.
- Drama disiarkan 20 Jun jam 9 malam di TV1 dan RTMKlik, menampilkan Wan Raja dan Yaacob Aziz sebagai teraju utama.
Pengarah Unit Drama TV RTM Zairol Fahmee Khairuddin, berkata drama yang menjalani penggambaran pada April lalu itu,mengetengahkan kisah pengorbanan seorang bapa tunggal dalam membesarkan anak Orang Kurang Upaya (OKU).
“Saya terjemahkan cerita mengenai seorang anak OKU yang dijaga oleh bapa. Bagaimana bapa mendidik dan juga ujian tragedi yang berlaku. Bagaimana seorang bapa berhadapan dengan situasi seperti ini. Daripada kecil sehingga besar membesarkan anak OKU itu dan akhirnya bila berlaku satu tragedi, bagaimana bapa itu diuji dan mengawal keadaan.” beliau berkata kepada media selepas Majlis Pratonton Drama RTM ‘Camar Poelang’ di Angkasapuri Kota Media .

Menurutnya lagi, ‘Camar Poelang’ bukan sekadar mengangkat hubungan antara bapa dan anak, malah mengajak penonton menilai pelbagai aspek kehidupan menerusi penceritaan yang sarat dengan mesej kemanusiaan.
Beliau turut memilih keindahan suasana perkampungan nelayan di Terengganu sebagai latar utama sepanjang 14 hari penggambaran melibatkan beberapa lokasi di sekitar negeri itu.
“Drama Camar Poelang ini sebuah karya yang mengajak kita berfikir. Perjalanan ceritanya bukan secara linear. Selain mengangkat kasih sayang antara anak dan bapa, banyak perkara dalam kehidupan yang cuba dijentik melalui karya ini,” jelasnya.
Sementara itu, pelakon utama Saiful Redzuan Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Wan Raja, menyifatkan watak yang dibawanya bagi drama kali ini, antara yang paling mencabar sepanjang kerjaya lakonannya kerana memerlukan penghayatan emosi yang mendalam.
Beliau berkata, watak tersebut membuka ruang untuk memahami lebih dekat pengorbanan seorang ayah yang sentiasa memikirkan kebajikan keluarga tanpa mengira cabaran yang dihadapi.
“Pengorbanan seorang bapa sangat berat walaupun kita tak nampak. Walaupun kita nampak pengorbanan seorang ibu, sebenarnya pengorbanan bapa juga sangat besar. Setiap apa yang dia lakukan, dia fikir bagaimana hendak memberi makan kepada keluarga. Lebih-lebih lagi jika mempunyai anak istimewa,” katanya kepada RTM

Drama tersebut mengisahkan dirinya yang memegang watak sebagai Zahir, seorang penulis yang terjebak dalam konflik fitnah yang terpaksa dihadapi dua beranak, iaitu seorang bapa tunggal dan anak istimewanya yang dituduh melakukan jenayah.
‘Camar Poelang’ memaparkan perjuangan bapa tunggal yang dilakonkan aktor Yaacob Aziz, dalam mempertahankan maruah dan kebenaran anaknya.
Apa hubungan watak penulis iaitu Zahir dengan dua beranak tersebut, saksikan drama ‘Camar Poelang’ yang dijangka mampu menyentuh hati penonton
Selain Wan Raja dan Yaacob Aziz, turut membintangi drama tersebut adalah Azizah Mahzan, Faha Azhar, Ku Farisah, Ariel Ganu, dan Razzuan Rosli.
Drama tersebut bakal disiarkan menerusi slot Panggung RTM pada 20 Jun ini, pada pukul 9 malam di TV1 dan RTMKlik.
Majlis Pratonton ‘Camar Poelang’ turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail dan Pengarah Bahagian Program TV Reza Shariman Othman.