Kaunter Permit Khas Diesel akan dibuka di empat lokasi bermula 19 Mei

Gambar fail / Foto Bernama

KLANG, 15 Mei – Kaunter Permit Khas Diesel akan dibuka di empat lokasi bermula 19 hingga 21 Mei, susulan aduan daripada pengusaha jentera padi dan pesawah di sekitar Sekinchan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri: langkah itu memudahkan pesawah dan pemilik jentera memohon permit terus kepada pihak berkaitan.
  • Kaunter dikendalikan IADA Barat Laut Selangor; permohonan dinilai manual mengikut kes untuk elak ketirisan diesel.
  • Krisis bekalan diesel mengancam keterjaminan makanan; kuota 20 liter jauh dari keperluan menuai sekitar 200 liter sehari.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu langkah tersebut bagi memudahkan pesawah serta pemilik jentera menuai padi membuat permohonan secara terus kepada pihak berkaitan.

Kaunter tesebut akan dikendalikan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor.

“Setakat ini, pesawah memohon bekalan sebanyak 200 liter. Namun, ada juga permohonan untuk jumlah yang lebih tinggi.

“Bagi permohonan sehingga 200 liter sehari, perkara itu masih boleh dipertimbangkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kerana ia berada di bawah bidang kuasa kementerian tersebut,” katanya selepas Program Peluncuran Projek Rintis PINTAR Parlimen Kota Raja, hari ini.

Menurutnya lagi, permohonan ini akan dinilai secara manual mengikut kes, bagi mengelakkan berlakunya sebarang ketirisan diesel.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memaklumkan, permit khas akan disediakan bagi membantu pesawah dan petani mendapatkan bekalan diesel serta petrol secara berterusan.

Sebelum ini, media melaporkan krisis bekalan diesel bagi jentera menuai padi kini dilihat mengancam keterjaminan makanan di Selangor apabila kira-kira 42,000 tan pengeluaran padi di empat kawasan utama sekitar Sabak Bernam berisiko terjejas sekiranya masalah itu berlarutan.

Ini susulan kuota diesel sebanyak 20 liter yang dibenarkan, menjejaskan kerja menuai di lapangan berbanding keperluan sebenar operasi menuai mencecah 200 liter sehari.