
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Generasi muda diseru agar terus menguasai teknologi strategik, khususnya dalam bidang keselamatan siber dan kriptologi, bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan digital negara terus terpelihara.
- Perdana Menteri mengadakan tinjauan ke Pusat Teknologi Pengurusan dan Kriptologi Malaysia serta menyaksikan penubuhan CSCDC.
- Inisiatif Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC) diketengahkan, diterajui bakat muda PTPKM melalui program PQC Sandbox.
- Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah CSCDC.
- CSCDC diwujudkan di bawah NACSA dan MKN sebagai entiti berpusat untuk mengukuhkan kesiapsiagaan dan pembangunan teknologi keselamatan siber kriptologi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran Facebook memaklumkan perkara itu selepas mengadakan tinjauan ke Pusat Teknologi Pengurusan dan Kriptologi Malaysia (PTPKM) dan menyaksikan penubuhan Cyber Security Cryptology Development Centre (CSCDC).
“Lawatan tersebut turut mengetengahkan inisiatif Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC) yang diterajui bakat muda PTPKM menerusi program PQC Sandbox,” menurut hantaran itu.
Dalam lawatan itu juga, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah CSCDC.
Penubuhan CSCDC merupakan inisiatif strategik bawah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pusat itu dibangunkan sebagai entiti berpusat bagi mengukuhkan kesiapsiagaan negara dan membangunkan teknologi dalam pengurusan keselamatan serta kriptologi siber.