
SUNGAI BESAR, 4 Jun – Peruntukan RM25 juta disediakan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bagi membantu pesawah, petani, nelayan, penternak dan pengusaha akuakultur berdepan peningkatan kos input, bahan api serta operasi pengeluaran makanan.
- Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 14,131 pengusaha agromakanan di seluruh negeri.
- Inisiatif penting untuk menjamin bekalan makanan domestik dan memantapkan daya tahan sektor agromakanan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
- Bantuan diagihkan kepada pesawah, pengusaha tanaman, nelayan, penternak dan pengusaha akuakultur serta program jualan ehsan dan gudang makanan strategik.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 14,131 pengusaha di seluruh negeri.
Menurut beliau, langkah berkenaan penting bagi memastikan bekalan makanan domestik terus terjamin serta sektor agromakanan kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
“Kita ambil kesempatan yang ada ini bersama dengan Program Gagasan Rumpun Selangor. Kebetulan program ini dilancarkan di sini di bawah sektor pertanian menerusi inisiatif yang terkandung dalam Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor.
“Dan sebagaimana saya sebutkan tadi, untuk sektor pertanian terdapat tiga komponen penting,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Sektor Pertanian di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar.
Terdahulu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat menghadiri majlis berkenaan yang merupakan antara pengisian Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Sabak Bernam 2026.
Menerusi pakej tersebut, seramai 7,387 pesawah menerima bantuan tunai berjumlah RM8.75 juta.
Pengusaha tanaman selain padi pula menerima bantuan input baja bernilai RM6.19 juta.
Selain itu, 2,178 nelayan menerima subsidi bahan api berjumlah RM3.92 juta.
Sebanyak RM5.4 juta turut diperuntukkan bagi bantuan makanan ternakan yang memanfaatkan 2,000 penternak.
Pada masa sama, RM729,000 disalurkan kepada 270 pengusaha akuakultur di negeri itu.
Dalam usaha membantu rakyat menghadapi kos sara hidup, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM10 juta bagi Program Jualan Ehsan Rahmah di 779 lokasi seluruh Selangor.
Selain itu, RM50 juta disediakan untuk memperkukuh Gudang Makanan Selangor sebagai stok penimbal strategik bagi menjamin bekalan makanan negeri.