
KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Kerajaan berjaya menyalurkan semula pinjaman bernilai RM5 bilion daripada Bank Eksport-Import China (CEXIM) bagi membiayai pelaksanaan Projek Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS).
- Projek membangunkan infrastruktur bekalan air bagi memenuhi keperluan penduduk utara Perak dan Pulau Pinang serta menyokong sektor pertanian.
- Sasaran kapasiti 700 juta liter sehari untuk Perak Utara, 300 juta liter untuk Pulau Pinang, 500 juta liter air mentah untuk pertanian.
- NPWSS melibatkan penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah dan kerja naik taraf di Sungai Kurau serta Terusan Besar.
- Perjanjian antara SSER dan CEXIM disaksikan oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan wakil Kedutaan China.
Pembiayaan itu akan dimanfaatkan untuk membangunkan infrastruktur bekalan air bagi memenuhi keperluan penduduk di utara Perak dan Pulau Pinang, selain menyokong sektor pertanian.
Menerusi projek berkenaan, sebanyak 700 juta liter air sehari disasarkan untuk Perak Utara, 300 juta liter bagi Pulau Pinang serta 500 juta liter air mentah sehari untuk kegunaan pertanian.
Pelaksanaan projek itu dijangka meningkatkan kapasiti bekalan air kepada penduduk, petani dan sektor perindustrian di kedua-dua kawasan berkenaan.
Perjanjian antara Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER), syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, dengan CEXIM disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di ibu negara.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Pengerusi CEXIM, Chen Huaiyu serta Charge d’Affaires Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Malaysia, Lin Shiguang.
NPWSS merupakan projek infrastruktur bekalan air bersepadu yang melibatkan penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, kerja-kerja menaik taraf infrastruktur di sepanjang Sungai Kurau dan Terusan Besar, selain pembinaan loji rawatan air di Kamunting dan Bogak.
Sebelum ini, Malaysia mempunyai obligasi pinjaman kira-kira RM8 bilion kepada China bagi dua projek saluran paip gas, iaitu Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP), yang ditamatkan pada 2018.
Penyaluran semula pembiayaan itu membolehkan komitmen pinjaman yang sebelum ini berkaitan projek berkenaan dimanfaatkan bagi pembangunan infrastruktur baharu yang memberi manfaat kepada rakyat.