Hanya pelarian sebelum 1 Januari 2023 layak dipertimbangkan sertai DPP

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 30 Oktober –Kerajaan menetapkan hanya pelarian yang berada di Malaysia sebelum 1 Januari 2023 layak dipertimbangkan untuk menyertai Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kad atau surat UNHCR tidak memberi kelayakan automatik untuk DPP.
  • DPP bukan laluan kepada tempat tinggal kekal, status PR atau kewarganegaraan Malaysia.
  • DPP bertujuan mendokumentasi dan memantau pelarian sementara usaha penghantaran pulang atau penempatan semula diteruskan; pekerjaan hanya sementara dan terhad.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, individu yang memasuki negara selepas tarikh berkenaan tidak layak dipertimbangkan bawah DPP, serta pemilikan kad atau surat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) juga tidak memberikan kelayakan secara automatik.

DPP bukan laluan untuk pelarian menetap secara kekal, memperoleh status Penduduk Tetap (PR) atau mendapat kewarganegaraan Malaysia.

“Program yang mula dilaksanakan pada 1 Januari 2026 itu bertujuan mengenal pasti, menyaring, mendokumentasikan dan memantau keberadaan pelarian sedia ada sementara kerajaan meneruskan usaha penghantaran pulang ke negara asal atau penempatan semula ke negara ketiga,” menurut kenyataan yang dikeluarkan KDN.

Menurut kenyataan itu, sebarang akses pekerjaan kepada pemegang DPP juga bersifat sementara, terhad dan tertakluk kepada syarat serta kelulusan kerajaan.

“Kebenaran hanya diberi kepada individu yang memenuhi kriteria ditetapkan dan terhad kepada sektor serta jenis pekerjaan yang dibenarkan, khususnya pekerjaan bercirikan 3D (Kotor, Berbahaya dan Sukar),” kata kenyataan itu lagi.

Keutamaan peluang pekerjaan kepada Warganegara Malaysia tetap terpelihara.

KDN menerusi kenyataan turut menegaskan pelaksanaan DPP dan pemberian akses pekerjaan bersyarat tidak mengubah matlamat kerajaan memastikan pelarian dihantar pulang ke negara asal atau ditempatkan semula ke negara ketiga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.