PGA bongkar sindiket proses air ketum sejak 2018

Antara bungkusan air ketum ditemui dalam serbuan sebuah rumah oleh PGA/Foto PGA Briged Tenggara

KUANTAN, 30 Oktober – Sindiket pemprosesan dan pembungkusan air ketum yang dipercayai beroperasi sejak 2018 terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah rumah di Kampung Padang Jaya, Jaya Gading, di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua lelaki berusia 22 dan 27 tahun ditahan.
  • Rampasan termasuk 540 liter air ketum dan 33 kilogram daun ketum.
  • Peralatan pemprosesan dirampas: tong ais, periuk, dua tong LPG, dua dapur dan paip gas.
  • Bekalan daun ketum dipercayai dihantar dari Kedah melalui bas, lori dan van menerusi seorang pembekal berbangsa Siam.

Serbuan menerusi Op Taring Mitra kira-kira pukul 2 petang itu membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 22 dan 27 tahun serta rampasan 540 liter air ketum dan 33 kilogram (kg) daun ketum.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, berkata serbuan dilakukan selepas PGA menjalankan pemerhatian selama kira-kira 30 minit di rumah berkenaan.

Beliau berkata, anggota kemudian mengesan sebuah kereta sedan berwarna perak memasuki kawasan rumah sebelum dua lelaki keluar dari kenderaan itu.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan tiga guni plastik mengandungi daun kehijauan disyaki daun ketum.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah pula menemukan beberapa tong mengandungi 540 bungkusan plastik berisi cecair keperangan disyaki air ketum, selain peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses bahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tempat pemprosesan air ketum sejak 2018/Foto PGA Briged Tenggara

Menurutnya, pihaknya turut merampas empat tong ais, dua periuk, dua tong gas petroleum cecair (LPG) serta dua unit dapur bersama paip gas.

Keseluruhan rampasan termasuk sebuah kereta jenis sedan dianggarkan bernilai RM27,380.

Ahmad Radzi berkata, seorang daripada lelaki yang ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses air ketum sejak 2018.

“Bekalan daun ketum pula dipercayai diperoleh dari Kedah menerusi seorang lelaki berbangsa Siam sebelum dihantar menggunakan pelbagai jenis kenderaan termasuk bas, lori dan van,” katanya.

Seorang lagi lelaki yang ditahan dipercayai berperanan sebagai tukang merebus air ketum.

Mereka didakwa melakukan aktiviti itu empat kali seminggu antara pukul 1 tengah hari hingga pukul 5 petang.

Kedua-dua suspek bersama semua barang rampasan kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.