
KUCHING, 30 Oktober – Polis menahan dua individu selepas didapati positif dadah dalam satu serbuan dan pemeriksaan bersepadu terhadap lima premis hiburan di sekitar bandar raya ini, baru-baru ini.
- Operasi selama dua hari dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching sebagai langkah berterusan membanteras penyalahgunaan dadah.
- Siasatan mengakibatkan penahanan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut.
- Kejayaan operasi hasil risikan berterusan dan kerjasama erat daripada orang awam.
- PDRM komited memerangi dadah habis-habisan dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dadah.
Operasi yang dilaksanakan selama dua hari bermula semalam dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching sebagai langkah berterusan membanteras aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga anak Chabu berkata, hasil pemeriksaan menyeluruh terhadap pengunjung di lima premis berkenaan mendapati dua daripada mereka positif dadah.
“Kedua-dua suspek berkenaan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut.
“Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama erat daripada pihak orang awam. PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran, pemilikan atau melindungi sebarang aktiviti berkaitan dadah kerana ia merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau menegaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sentiasa komited memerangi gejala dadah habis-habisan demi melindungi generasi masa kini dan masa depan daripada ancaman musuh nombor satu negara itu.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dadah.