Sindiket penipuan siber : PDRM hantar pegawai ke Pakistan

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail ketika ditemui pengamal media selepas Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Persatuan Bekas Polis Malaysia Tahun 2026 / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkemungkinan menghantar pegawai ke Pakistan bagi mendapatkan maklumat dan butiran lanjut berhubung penahanan 130 rakyat Malaysia yang dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan siber di Rawalpindi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak berkuasa Pakistan mengesahkan penahanan beberapa pemegang pasport Malaysia; PDRM masih menunggu bukti dan maklumat lengkap.
  • Beberapa yang ditahan mempunyai visa sah manakala yang lain visa tamat; pihak Pakistan memberi kerjasama untuk membantu siasatan.
  • Serbuan di pusat panggilan Rawalpindi mendedahkan sindiket penipuan siber menyamar sebagai pegawai bank dan polis untuk menipu mangsa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, penahanan kesemua individu berkenaan telah disahkan pihak berkuasa Pakistan, namun PDRM masih menunggu bukti serta maklumat lengkap berhubung kes itu.

Beliau berkata, PDRM sedang berhubung dengan Kementerian Luar bagi mendapatkan perkembangan lanjut, selain mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa Pakistan.

“Perkara itu sudah disahkan. Kita masih menunggu bukti-bukti lanjut.

“Saya sudah meminta JSJK meneruskan hubungan dengan pihak berkuasa Pakistan dan berkemungkinan kita akan menghantar pegawai ke sana untuk mendapatkan butiran sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Persatuan Bekas Polis Malaysia 2026 di sini, malam tadi.

Tan Sri Mohd Khalid berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterima, sebahagian individu yang ditahan mempunyai visa yang masih sah, manakala sebahagian lagi telah tamat tempoh visa.

Menurutnya, pihak berkuasa Pakistan turut memberikan kerjasama kepada PDRM bagi membantu siasatan serta mendapatkan maklumat berkaitan individu terbabit.

Bagaimanapun, katanya, PDRM masih belum menerima senarai lengkap identiti mereka dan setakat ini hanya dimaklumkan bahawa kesemua individu berkenaan merupakan pemegang pasport Malaysia.

Laporan media Pakistan sebelum ini menyebut, serbuan Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan Pakistan (NCCIA) di sebuah pusat panggilan di KASA Tower, Bahria Town Fasa VIII, Rawalpindi, mendedahkan kegiatan penipuan siber yang dipercayai menyasarkan rakyat Malaysia.

Sindiket itu dipercayai menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai bank dan polis Malaysia untuk memperdaya mangsa supaya memindahkan wang atas alasan kononnya terbabit dalam transaksi mencurigakan serta kes pengubahan wang haram.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.