WAGC 2026 : Malaysia rampas gelaran juara daripada China

Pasukan golf Malaysia / Foto RTM

KOTA TINGGI, 31 Oktober – Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Akhir Dunia World Amateur Golfers Championship (WAGC) 2026 di Johor selepas mengumpul 1,405 mata, sekali gus merampas gelaran daripada juara bertahan, China.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia menamatkan penantian, berjaya menjulang kembali gelaran WAGC setelah China menjadi juara pada edisi tahun lalu.
  • Kejayaan disumbang oleh kesungguhan, disiplin, persiapan rapi dan perbincangan strategi pasukan sebelum beraksi.
  • Beberapa pemain Malaysia menjuarai kategori masing-masing; bendera WAGC diserahkan kepada Vietnam untuk tuan rumah 2027.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menamatkan penantian untuk kembali menjulang gelaran berkenaan selepas China muncul juara pada edisi tahun lalu di Korea Selatan.

Malaysia mengungguli saingan dengan mengatasi Thailand yang mengumpul 1,416 mata, manakala Indonesia menduduki tempat ketiga dengan 1,451 mata.

Pemain golf Malaysia, Azhari Yusof berkata, kejayaan itu hasil kesungguhan, disiplin dan persiapan rapi semua pemain dalam menghadapi cabaran kejohanan.

Beliau berkata, kemenangan itu lebih bermakna kerana Malaysia berjaya merampas semula gelaran daripada China.

“Perasaan kami sangat gembira kerana berjaya merampas kembali kemenangan daripada China. Alhamdulillah, hasil kesungguhan dan disiplin yang diamalkan sebelum ini, kami berjaya mencapai sasaran.

“Cabaran utama pemain golf adalah menyesuaikan diri dengan keadaan padang yang berbeza kerana setiap padang mempunyai cabaran dan cara permainan tersendiri.

“Sebelum bermain, kami akan berbincang dan berkongsi pandangan mengenai strategi yang sesuai,” katanya.

Kejohanan itu turut menyaksikan beberapa pemain Malaysia meraih kejuaraan dalam kategori masing-masing.

Azhari Yusof muncul juara WAGC Divisyen C, manakala Ahmad Hakim menjuarai Divisyen D dan Roslan Ismail memenangi kategori WAGI Divisyen C.

Jeniss Chan pula muncul juara kategori WAGI Divisyen F, sementara Akmal Aiman Mohd Fauzi menjuarai kategori All Streams (Lelaki).

Pada majlis penyampaian hadiah di Desaru Coast, bendera WAGC diserahkan kepada Vietnam sebagai simbolik peralihan tuan rumah bagi kejohanan edisi 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.