
SEPANG, 30 Oktober – Bahang perlumbaan MotoGP Malaysia 2026 mula dirasai apabila peminat sukan permotoran membanjiri Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC), hari ini, meskipun saingan baru sahaja membuka tirai menerusi sesi latihan bebas.
- Pengunjung menikmati pelbagai aktiviti sampingan, termasuk pameran dan persembahan, memeriahkan pengalaman di litar.
- Acara menjadi peluang meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sambil menonton perlumbaan dari tempat duduk grandstand.
- MotoGP menarik minat peminat teknologi dan pelancong antarabangsa, menunjukkan tarikan sukan dan inovasi motosikal.
Selain menyaksikan aksi pelumba handalan dunia di litar, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti sampingan, termasuk pameran dan persembahan yang dianjurkan bagi memeriahkan acara sukan permotoran bertaraf dunia itu.
Bagi pengunjung, penganjuran acara berkenaan bukan sekadar peluang menyaksikan perlumbaan dari dekat, malah menjadi ruang untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Pengunjung, Aidi Rizam berkata, beliau mengambil kesempatan membawa keluarganya ke litar bagi menikmati pengalaman menyaksikan perlumbaan dari tempat duduk grandstand, selepas menonton dari Hill Stand pada tahun lalu.
“Kita ambil kesempatan bawa keluarga. Tahun lepas kita tengok dari Hill Stand, jadi tahun ini ada rezeki kita bawa mereka ke grandstand untuk tengok dengan lebih dekat. Tahun lepas kita tengok dari jauh,” katanya ketika ditemui RTM.
Dalam pada itu, bagi peminat tegar sukan permotoran, MotoGP bukan hanya berkisar tentang kepantasan jentera di litar, sebaliknya turut menjadi platform untuk melihat perkembangan teknologi kejuruteraan motosikal.
Pengunjung, Rashid Rahim berkata, beliau lebih tertarik meneliti aspek teknologi motosikal yang menjadi antara pemacu kepada perkembangan teknologi pada masa hadapan.
“Kalau orang biasa, mereka tengok perlumbaan atau kelajuan motosikal. Tetapi saya melihat dari segi teknologi motosikal kerana teknologi itu yang membawa evolusi kepada teknologi masa depan,” katanya.
Sementara itu, pengunjung yang pertama kali menyaksikan perlumbaan berkenaan turut teruja dengan kemeriahan suasana di Litar SIC serta pelbagai tarikan yang disediakan.
Nur Anis Insyirah Rozni berkata, beliau teruja melihat jumlah pengunjung yang ramai selain peluang mendapatkan barangan rasmi MotoGP.
“Ini kali pertama saya datang dan memang rasa kagum sebab ramai orang, suasana penuh dan barangan rasmi MotoGP pun ada,” katanya.
Tarikan MotoGP Malaysia turut menarik perhatian peminat antarabangsa, termasuk pelancong yang sanggup berkunjung ke negara ini khusus untuk menyaksikan perlumbaan berkenaan.
Pelancong, David Charlies berkata, beliau memilih Malaysia sebagai destinasi untuk menyaksikan MotoGP di negara lain dan berpuas hati dengan pengalamannya.
“Saya datang seorang diri. Ini hadiah untuk diri sendiri kerana saya mahu menyaksikan MotoGP di negara lain. Saya memilih Malaysia dan saya sangat menikmati pengalaman ini,” katanya.
Perlumbaan MotoGP Malaysia 2026 dijadual berlangsung sehingga Ahad ini, dengan peminat dijangka terus memenuhi litar bagi menyaksikan aksi dan persaingan sengit barisan pelumba terbaik dunia.