Pesara polis digalak kongsi pengalaman, bimbing anggota muda

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail (tengah) bersama para pesara polis dan tetamu yang hadir pada Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Persatuan Bekas Polis Malaysia Tahun 2026 / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) digalakkan terus menyumbang kepada pasukan dengan berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran bagi membimbing anggota muda, khususnya dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengalaman lebih 80,000 pesara polis merupakan khazanah berharga yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan pasukan.
  • PDRM komited memperkukuh kebajikan pesara melalui kerjasama erat dengan Persatuan Bekas Polis Malaysia dan pertemuan mengenal pasti keperluan.
  • Pesara dianggap aset penting yang boleh digembleng bersama lebih 138,000 pegawai untuk mengekalkan semangat setiakawan keluarga pasukan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pengalaman lebih 80,000 pesara polis merupakan khazanah berharga yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan pasukan serta melahirkan anggota yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan.

Menurutnya, sumbangan pesara tidak seharusnya terhenti selepas tamat perkhidmatan, sebaliknya kepakaran serta pengalaman mereka masih boleh dimanfaatkan demi kepentingan pasukan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Persatuan Bekas Polis Malaysia 2026 di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Tan Sri Mohd Khalid berkata, PDRM komited memperkukuh kebajikan lebih 80,000 pesara polis menerusi kerjasama lebih erat dengan Persatuan Bekas Polis Malaysia, termasuk mengadakan pertemuan bagi mengenal pasti keperluan serta bentuk bantuan yang boleh disalurkan.

Beliau turut mengalu-alukan kepimpinan persatuan itu untuk mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu kebajikan dan bantuan kepada golongan berkenaan.

“Insya-Allah, kita akan mengadakan pertemuan itu dalam masa terdekat. Saya percaya kita dapat membincangkan masalah yang dihadapi serta bantuan yang boleh disalurkan bagi memastikan pesara polis mendapat bantuan dan pertolongan sewajarnya,” katanya.

Menurut Tan Sri Mohd Khalid, kerajaan turut memberi perhatian terhadap kebajikan pesara menerusi pelbagai sumbangan dan bantuan, selain mengiktiraf jasa serta pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau berkata, kerjasama antara PDRM dengan persatuan berkenaan perlu terus diperkukuh bagi memastikan pesara serta ahli keluarga mereka mendapat perhatian sewajarnya.

Katanya, kekuatan lebih 80,000 pesara itu juga merupakan aset penting yang boleh digembleng bersama lebih 138,000 pegawai, anggota dan kakitangan awam PDRM, selain memelihara semangat setiakawan serta kekitaan dalam keluarga besar pasukan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.