Buru gelaran keenam, SRG tekad terus dominasi MPL

Foto FB Selangor Red Giants Esports

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Selangor Red Giants (SRG) berpeluang melakar satu lagi sejarah dalam arena e-sukan negara apabila memburu kejuaraan keenam berturut-turut Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia pada Grand Final Musim Ke-18, 1 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • SRG bertekad meneruskan dominasi sejak Musim Ke-13 dengan mempertahankan gelaran juara.
  • Jurulatih Arcadia sedia strategi khusus untuk mengharungi lawan VAMOS atau Team Rey dan manfaatkan kekuatan pasukan.
  • Arcadia tekankan disiplin dan keserasian pemain agar tidak beri ruang kepada lawan, sambil persiapkan cabaran ke Kejohanan Dunia M8.

Juara bertahan itu bertekad meneruskan dominasi sejak Musim Ke-13 dengan mempertahankan gelaran yang dimenangi selama lima musim berturut-turut.

Ketua Jurulatih SRG, Michael Angelo Bocado atau lebih dikenali sebagai Arcadia berkata, persiapan menghadapi perlawanan akhir sudah dilakukan lebih awal, termasuk merangka strategi bagi menghadapi salah satu daripada dua calon lawan, VAMOS atau Team Rey.

Menurutnya, tumpuan pasukan bukan sahaja untuk mengekang kekuatan pihak lawan, malah memastikan setiap pemain dapat memanfaatkan kelebihan dan kekuatan SRG sendiri.

“Kami sudah membuat persiapan menghadapi kedua-dua pasukan ini sebelum peringkat playoff bermula. Jadi, tidak kira siapa yang bakal menjadi lawan, kami sudah mempunyai strategi untuk mengekang corak permainan mereka selain memastikan kami dapat melaksanakan strategi berdasarkan kekuatan sendiri,” katanya.

Mengulas prestasi pasukan, Arcadia berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pemain, namun mengingatkan mereka supaya terus mengekalkan disiplin dan keserasian serta tidak memberi ruang kepada lawan untuk mengubah momentum permainan.

Beliau berkata, mempertahankan kejuaraan menjadi sasaran utama SRG kerana peluang meraih gelaran keenam berturut-turut merupakan pencapaian bersejarah yang mahu direalisasikan bersama seluruh pasukan.

“Sudah pasti fokus kami adalah pada Grand Final. Kami benar-benar mahu meraih kejuaraan keenam dan mempertahankan gelaran.

“Kami melihat pencapaian ini sebagai sesuatu yang bersejarah dan mampu direalisasikan bersama. Kami sudah menetapkan sasaran sejak sebelum playoff bermula dan kini mahu memastikan matlamat itu tercapai,” katanya.

Selain meneruskan dominasi di pentas domestik, kejayaan mempertahankan kejuaraan turut menjadi suntikan semangat buat SRG untuk menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Dunia M8 di Istanbul, Türkiye.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.