
KUALA LUMPUR, 15 Mei -Pertumbuhan ekonomi Malaysia 2026 dijangka masih kekal berada dalam julat antara empat hingga lima peratus tahun ini, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan.
- Ekonomi disokong asas kukuh, permintaan domestik meningkat dan aktiviti pelaburan berterusan.
- Risiko luaran dari konflik Asia Barat menjejaskan komoditi, pelancongan dan infrastruktur tenaga.
- Permintaan E&E dan perkhidmatan berkaitan ICT terus menyokong pertumbuhan eksport dan ekonomi.
- Kadar pengangguran rendah dan pertumbuhan upah menstabilkan ekonomi serta merancakkan penggunaan domestik.
Gabenor Bank Negara MalaysiA (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk terus menyokong daya tahan ekonomi negara didorong peningkatan permintaan domestik serta aktiviti pelaburan yang berterusan.
“Dari sudut luaran, kita telah mengambil kira kesan konflik di Asia Barat terhadap komoditi, sektor pelancongan, pertumbuhan ekonomi global serta sentimen pasaran.
Namun begitu, permintaan berterusan terhadap barangan E&E, serta prestasi yang lebih kukuh dalam perkhidmatan berkaitan ICT, dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi.
Bagaimanapun, masih terdapat risiko, terutamanya daripada konflik yang berpanjangan serta kerosakan yang lebih meluas terhadap infrastruktur tenaga di Asia Barat,” katanya pada pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026 hari ini.
Mengulas mengenai momentum pertumbuhan bulanan, katanya, prestasi ekonomi masa hadapan akan bergantung kepada keadaan pasaran semasa, termasuk tempoh cabaran global serta kesannya terhadap struktur ekonomi industri, pembangunan sistem dan infrastruktur baharu.
Jelas beliau, ekonomi negara juga akan terus menunjukkan prestasi yang stabil disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang berterusan serta aliran masuk pelaburan baharu yang terus memberi sokongan kepada pertumbuhan.
Katanya, kadar pengangguran yang kekal rendah pada paras 2.9 peratus serta pertumbuhan upah yang berterusan telah menstabilkan ekonomi negara, sekali gus terus merancakkan penggunaan domestik.
Pada masa sama, katanya, aliran masuk pelaburan serta prestasi sektor eksport, khususnya industri elektrik dan elektronik (E&E), terus memberi sokongan kepada pertumbuhan ekonomi negara.