
BEIJING, 15 Mei – Presiden Donald Trump merumuskan pertemuan dengan rakan sejawatan, Xi Jinping merupakan “urusan perdagangan yang hebat”.
- Perjanjian besar dalam pertanian, penerbangan dan AI termasuk persetujuan pembelian 200 pesawat Boeing.
- Xi memberi jaminan China tidak akan membekal bantuan ketenteraan kepada Iran dan mahu Selat Hormuz dibuka.
- Kedua pihak mahu wujudkan hubungan dua hala baharu yang stabil dan strategik dan dasar AS terhadap Taiwan kekal.
Perkembangan positif itu dinyatakan Trump pada perbincangan akhir sidang kemuncak kuasa besar di sini.
Trump berada di Beijing untuk memeterai perjanjian dalam sektor termasuk pertanian, penerbangan dan kecerdasan buatan (AI) termasuk menumpukan perbezaan antara kedua-dua pihak serta penekanan terhadap situasi semasa konflik di Asia Barat.
Sebelum ini sebaik tiba di Beijing, Trump menyifatkan pemimpin China itu sebagai “pemimpin hebat dan rakan”.
Bagaimanapun, setakat ini Xi tidak mengulas mengenai kenyataan Trump itu walaupun pemimpin AS berkenaan menyatakan banyak kebaikan telah diperoleh daripada lawatan berkenaan.
“Kami telah membuat beberapa tawaran perdagangan yang hebat dan bagus untuk kedua-dua negara,” kata Trump selepas melawat taman Zhongnanhai, kawasan bersebelahan Kota Larangan Beijing.
“AS dan China telah selesaikan banyak masalah berbeza yang orang lain tidak akan dapat menyelesaikannya,” tambah Trump tanpa memberikan butiran lanjut.
Xi pula berkata ia adalah lawatan penting dan kedua-dua pihak setakat ini perlu mewujudkan hubungan dua hala baharu yang merupakan hubungan kestabilan strategik yang membina.
Menyentuh mengenai perang di Iran, Presiden AS berkata Xi memberi jaminan bahawa China tidak bersedia untuk membantu Tehran secara ketenteraan.
“Dia (Xi) menegaskan tidak akan memberikan peralatan ketenteraan kepada Iran termasuk ingin melihat Selat Hormuz dibuka,” kata Trump kepada media.
Kementerian Luar China pada Jumaat juga telah mengeluarkan kenyataan yang menggesa “gencatan senjata menyeluruh dan berkekalan”.
Manakala Setiausaha Negara, Marco Rubio memberitahu media pada Khamis bahawa dasar AS mengenai isu Taiwan tidak berubah sejak mesyuarat di Beijing.
Reaksi segera oleh Taipei pada Jumaat mengucapkan terima kasih kepada Washington kerana berulang kali menyatakan sokongannya.
Sementara itu, dalam temu bual bersama Fox, Trump berkata satu perjanjian perniagaan besar melibatkan 200 pesawat Boeing turut dipersetujui Xi.- AFP