Taufan kuat: Angka kematian mencecah 111 orang

Foto AFP

NEW DELHI, 15 Mei – Sekurang-kurangnya 111 orang terkorban akibat taufan kuat melanda negeri Uttar Pradesh di utara India, minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah korban meningkat apabila lebih banyak daerah melaporkan mangsa.
  • 72 orang cedera dan lebih 200 rumah dilaporkan rosak.
  • Pihak berkuasa mengagihkan bantuan kewangan kepada keluarga terjejas selepas ribut, petir dan hujan merosakkan infrastruktur.

Menurut pegawai kerajaan, jumlah kematian itu meningkat berbanding laporan awal 89 orang, apabila lebih banyak daerah melaporkan individu yang meninggal dunia.

“Laporan 111 kematian diterima setakat ini,” kata kenyataan itu sambil menambah 72 orang cedera.

Pejabat Pesuruhjaya Bantuan berkata lebih 200 buah rumah rosak.

Jelasnya, pegawai dan pihak berkuasa telah diarahkan untuk mengagihkan bantuan kewangan kepada keluarga yang terjejas.

Angin ribut, petir dan hujan lebat membadai negeri itu pada Rabu, memusnahkan bumbung bangunan termasuk menumbangkan pokok.

Uttar Pradesh, yang menempatkan lebih 240 juta orang, sering dilanda ribut pada musim panas dengan kilat menyambar menjadi punca utama kematian.

Pejabat Cuaca India sejak beberapa tahun kebelakangan ini memberi amaran tentang peningkatan kejadian cuaca ekstrem termasuk ribut petir dan kilat yang kuat.

Pakar mengaitkan situasi berkenaan dengan peningkatan suhu dan perubahan corak iklim.- AFP