
SANDAKAN, 19 April – Operasi pemadaman kebakaran di Kampung Bahagia di sini ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari.
- JBPM mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
- Kebakaran melibatkan hampir 1,000 kediaman dalam kawasan hampir 10 ekar, struktur tidak kekal mempercepatkan merebaknya api.
- Seramai 37 anggota bomba, pasukan bomba sukarela dan agensi termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam dan Sabah Electricity terlibat.
- Dua PPS dibuka; lebih 900 penduduk mendaftar di PPR Batu Sapi dan pendaftaran di PPS sekolah masih berjalan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan mengesahkan, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden yang berlaku awal pagi tadi.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 8:43 pagi. Pemeriksaan akhir mendapati tiada lagi punca bahaya di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Kebakaran melibatkan hampir 1,000 kediaman di kawasan seluas hampir 10 ekar dengan kebanyakan struktur rumah jenis tidak kekal, menyebabkan api merebak dengan pantas.
Seramai 37 anggota bomba bersama pasukan bomba sukarela serta beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Sabah Electricity Sdn Bhd terlibat dalam operasi pemadaman.
Pelaksanaan operasi berdepan pelbagai cabaran termasuk laluan sempit yang menyukarkan pergerakan jentera, keadaan air laut surut serta angin kencang yang mengakibatkan api cepat merebak.
Dalam pada itu, sebanyak dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi dan sebuah sekolah berhampiran bagi menempatkan penduduk terjejas.
PPS berkenaan diaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan masing-masing pada pukul 10.30 pagi dan 11.00 pagi.
Pengerusi JPBD Sandakan, Walter Kenson berkata, setakat 12 tengah hari, lebih 900 penduduk telah mendaftar di PPS PPR Batu Sapi, manakala proses pendaftaran penduduk terkesan di PPS sekolah masih berjalan.