Malaysia gesa UNSC ambil langkah pastikan keselamatan UNIFIL

Foto AFP

PUTRAJAYA, 19 April – Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan keselamatan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan ke atas UNIFIL di Ghanduriyah membunuh seorang anggota Perancis dan mencederakan tiga lagi.
  • Anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang bertugas di bawah UNIFIL disahkan berada dalam keadaan selamat.
  • Kerajaan menzahirkan ucapan takziah, mengecam serangan sebagai jenayah perang, menuntut keadilan serta menggesa hormati gencatan senjata dan beri kerjasama penuh kepada UNIFIL.

Kementerian Luar membuat gesaan itu menerusi satu kenyataan, susulan serangan terbaharu ke atas UNIFIL di Ghanduriyah pada Sabtu.

Serangan itu menjejaskan empat anggota pengaman UNIFIL warga Perancis dengan seorang daripadanya terbunuh, manakala tiga yang lain cedera.

Anggota tentera Batalion Malaysia (MALBATT) yang sedang berkhidmat dibawah panji UNIFIL, disahkan berada dalam keadaan selamat.

“Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan kerajaan Perancis. Malaysia ,mengecam sekerasnya serangan berterusan terhadap anggota pengaman UNIFIL.

“Serangan-serangan ini merupakan jenayah perang dan Malaysia menuntut keadilan bagi kesemua anggota pengaman yang terkorban dan cedera,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Malaysia menggesa semua pihak menghormati gencatan senjata, meredakan ketegangan dan memberi kerjasama penuh kepada UNIFIL dalam melaksana mandatnya di bawah Resolusi UNSC 1701 (2006).