
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah merakam percakapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berhubung dua siasatan berasingan yang sedang dijalankan.
- Keterangan Azam dirakam mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
- Siasatan pertama tentang artikel Bloomberg mengenai dakwaan pemilikan saham Velocity Capital Partner Berhad.
- Siasatan kedua melibatkan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah terhadap Albert Tei; kertas siasatan akan dirujuk kepada AGC.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, keterangan Tan Sri Azam dirakam mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Siasatan pertama membabitkan penerbitan artikel oleh portal Bloomberg.com yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah berhubung pemilikan saham dalam Velocity Capital Partner Berhad.
“Siasatan kedua pula melibatkan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah terhadap seorang orang awam dikenali sebagai Albert Tei,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.
Sehubungan itu, Datuk M. Kumar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan yang berpotensi menjejaskan atau mengganggu proses siasatan.
“PDRM komited memastikan ketelusan dan integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan.
“PDRM juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang,” katanya.