
SETIU, 3 Jun – Seorang guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap tujuh pertuduhan membabitkan dua pelajar lelaki bawah umur.
- Didakwa atas tujuh pertuduhan: tiga pengantunan (Sek.12(1)) dan empat amang seksual fizikal (Sek.14(a), 14(b)).
- Melibatkan dua pelajar lelaki bawah umur, masing-masing berumur 16 tahun 10 bulan dan 14 tahun 10 bulan.
- Perbuatan didakwa berlaku antara 5 hingga 11 Mei di Besut dan Kuala Terengganu; mahkamah benarkan ikat jamin RM22,000, sebutan semula 6 Julai.
Bagi mangsa pertama berusia 16 tahun 10 bulan, tertuduh berdepan tiga pertuduhan pengantunan atau child grooming mengikut Seksyen 12 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta dua pertuduhan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14 (a) akta sama.
Selain itu, tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi pelajar lelaki berusia 14 tahun 10 bulan mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) akta sama.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara 5 Mei hingga 11 Mei lalu di beberapa lokasi di Besut dan Kuala Terengganu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM22,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.