
TAPAH, 3 Jun – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, diteruskan dalam skala lebih kecil dengan diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
- Kira-kira 95 peratus kawasan pendakian telah diperiksa oleh pasukan penyelamat.
- Polis menyambung siasatan; setakat ini tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kehilangan.
- Operasi SAR diteruskan secara bersasar, memberi tumpuan lokasi berpotensi; 116 anggota penyelamat terlibat.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai maklumat serta petunjuk yang diperoleh sepanjang operasi dijalankan.
Menurut beliau, hasil mesyuarat bersama agensi penyelaras mendapati kira-kira 95 peratus kawasan pendakian telah diperiksa oleh pasukan penyelamat.
“Operasi ini tidak dihentikan, sebaliknya diteruskan dalam skop lebih kecil. Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Batu Tujuh, Kuala Woh akan ditutup dan operasi seterusnya dikendalikan oleh JBPM,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.
Dalam pada itu, polis turut meneruskan siasatan lanjut berhubung kehilangan mangsa, namun setakat ini tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kejadian tersebut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad menjelaskan bahawa penemuan botol suplemen di lokasi pencarian sebelum ini tidak mempunyai kaitan dengan mangsa.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bahan tersebut merupakan peninggalan lama daripada aktiviti terdahulu di kawasan berkenaan.
“Penemuan itu bukan yang terbaharu dan dipercayai telah lama berada di lokasi tersebut,” jelasnya.
Sepanjang operasi dijalankan, seramai 116 anggota penyelamat telah terlibat, termasuk bantuan daripada pasukan luar Perak seperti Pahang.
Operasi SAR akan terus dijalankan secara bersasar dengan memberi tumpuan kepada lokasi-lokasi yang dikenal pasti berpotensi.