
PASIR GUDANG, 19 April – Seramai 13 remaja berusia antara 16 hingga 21 tahun ditahan dalam Operasi khas bersepadu Motosikal di Lebuhraya Pasir Gudang, pagi tadi.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, denda RM5,000 hingga RM15,000 atau penjara sehingga 5 tahun.
- Operasi dari pukul 5 petang hingga 6 pagi menyita 16 motosikal dan mengeluarkan 41 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya.
- Tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan di lokasi tumpuan lumba haram untuk membendung aktiviti serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Kesemua mereka ditahan kerana melakukan aksi berbahaya di jalan awam sehingga mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.
Kes disiasat mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 hingga RM15,000 serta penjara sehingga 5 tahun.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata dalam operasi yang dijalankan dari pukul 5 petang semalam hingga 6 pagi tadi, 16 buah motosikal turut disita.
41 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
“Operasi secara menyeluruh itu dilaksanakan bagi membendung dan membanteras aktiviti lumba haram serta samseng jalanan yang semakin membahayakan keselamatan pengguna jalan raya dan mengganggu ketenteraman awam.
“Ia diketuai Pegawai Penguatkuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Ibu Pejabat Daerah (BSPTD) IPD Johor Bahru Selatan dengan kekuatan 8 anggota trafik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa, khususnya di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai tumpuan aktiviti lumba haram.