
LUMUT, 19 April – Polis berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan migran dengan penahanan 75 individu termasuk dua transporter dalam Op Taring Landai melibatkan serbuan di dua lokasi berasingan sekitar kawasan Bandar Baru Segari, Lumut semalam.
- Operasi dijalankan oleh IPD Manjung bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 dan Unit Risikan Marin Kampung Acheh.
- Tangkapan melibatkan warga Indonesia dan Bangladesh, termasuk lelaki, wanita serta kanak-kanak, dibawa ke IPD Manjung untuk tindakan lanjut.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c), 15(1)(c) Akta Imigresen; orang awam diminta salur maklumat ke IPD Manjung.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner (ACP) Hasbullah Abdul Rahman berkata operasi tersebut dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 1,daripada Unit Risikan Marin Kampung Acheh.
“Operasi tersebut telah menahan tiga lelaki warga Indonesia iaitu dua sebagai transporter dan seorang penjaga rumah penampungan.
“Selain itu, polis turut menahan 43 lelaki, 25 wanita serta seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia, serta dua lagi lelaki warga Bangladesh, kesemuanya berusia antara tujuh hingga 57 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) tersebut telah dibawa ke IPD Manjung untuk tindakan selanjutnya.
“Orang awam boleh salurkan maklumat dan aduan berkaitan kegiatan penyeludupan PATI kepada pihak IPD Manjung dengan menghubungi bilik gerakan di talian 05-688 6222 atau hotline WhatsApp 017-682 8005,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.