Tujuh ditahan, 98 motosikal disita atas pelbagai kesalahan

Foto PDRM

KUALA LUMPUR, 19 April – 98 motosikal disita dan 751 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu besar-besaran yang dijalankan menerusi Op Mabuk, Op Motosikal dan Op Tutup, Op Samseng Jalanan di sekitar ibu negara bermula 10 malam hingga 7 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebanyak 750 motosikal dan 80 kereta diperiksa dalam operasi bersepadu.
  • Tangkapan melibatkan dua positif methamphetamine, tiga memandu bawah pengaruh alkohol dan dua penunggang motosikal ditahan.
  • Operasi dijalankan di Jalan Ipoh, Jalan Kuching, Plaza Tol Sentul Pasar, DUKE dan Jalan Pantai Baharu.
  • Satu tangkapan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengubah nombor pendaftaran dan motosikal diubah suai tanpa brek.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata dalam operasi itu, sebanyak 750 motosikal dan 80 kereta diperiksa.

“Daripada pemeriksaan kita, dua ditangkap dibuat kerana positif methamphetamine, tiga lagi memandu di bawah pengaruh alkohol, selain dua penunggang motosikal ditahan.

“Salah satunya adalah ubah suai motosikal, tak ada brek, dan juga ada satu tangkapan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengubah suai nombor pendaftaran dengan meletakkan gambar,” katanya kepada media selepas mengikuti operasi tersebut di sini.

Operasi dijalankan di Jalan Ipoh, Jalan Kuching, Plaza Tol Sentul Pasar Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Pantai Baharu.

Pihak polis turut mengepung kawasan di Jalan Tun Razak yang dijadikan litar oleh “mat rempit’ untuk berlumba dan medan menunjukkan pelbagai aksi berbahaya.

““Dalam keadaan kelam-kabut, ada yang sanggup menunggang melawan arus untuk cuba melepaskan diri, namun usaha mereka tidak berjaya.

“Kecekapan pihak polis serta agensi terlibat telah berjaya menghalang penunggang motosikal daripada cubaan melarikan diri dan kesemua yang ditahan telah diperiksa,”katanya.

Operasi bersepadu itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan lima anggota, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) (16 anggota), dan empat anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).