Dua anggota bomba selamatkan dua peniaga dalam kebakaran di medan selera

Tangkap layar video tular menunjukkan dua anggota bomba Muhammad Athir Maula Mat Esaha dan Mohamad Anas Elyas yang berada di lokasi selepas menjalankan tugas, segera bertindak sebaik menyedari kebakaran.

PENDANG, 19 April – Keberanian dan tindakan pantas dua anggota bomba berjaya menyelamatkan dua peniaga yang terperangkap dalam kebakaran dapur di sebuah medan selera berhampiran Masjid Al-Falah, Felda Sungai Tiang, Pendang, kira-kira pukul 5.15 petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran dipercayai berpunca daripada kepala gauge gas tercabut, menyebabkan api marak dan menyambar ruang hadapan kabin.
  • Pintu kabin terkunci dari dalam, menyebabkan dua mangsa terperangkap dan panik.
  • Mohamad Anas bersama orang awam mengeluarkan mangsa; Muhammad Athir mengawal kebakaran; tiada alat pemadam, bantuan masjid diperlukan.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, dua pegawainya, Muhammad Athir Maula Mat Esaha dan Mohamad Anas Elyas yang berada di lokasi selepas menjalankan tugas, segera bertindak sebaik menyedari kebakaran.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada kepala ‘gauge’ gas yang tercabut, menyebabkan api marak dengan cepat dan menyambar ruang hadapan kabin.

Keadaan menjadi cemas apabila pintu kabin terkunci dari dalam, menyebabkan dua mangsa terperangkap dalam keadaan panik.

Bertindak pantas, Mohamad Anas bersama orang awam berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa ke kawasan selamat, manakala Muhammad Athir mengawal kebakaran daripada terus merebak.

Ketiadaan alat pemadam api di premis memaksa mereka mendapatkan bantuan dari masjid berhampiran sebelum kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya.

Kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keadaan selamat.