Kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan negeri berjaya selesaikan isu rakyat

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil / BERNAMA

SEGAMAT, 19 April – Kejayaan Kerajaan Madani menyelesaikan isu-isu kritikal seperti kenaikan gaji penjawat awam serta pelaksanaan projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), merupakan hasil daripada sinergi kukuh antara pentadbiran pusat dan negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan projek strategik seperti RTS Link, JS-SEZ dan Kolej Matrikulasi Terengganu berjaya diselesaikan.
  • Kenaikan gaji penjawat awam yang tidak disemak sejak 2013 dan kenaikan gaji hakim telah dilaksanakan.
  • Peruntukan bagi Maahad Tahfiz dan sekolah agama telah dipulangkan di bawah Kerajaan Madani.
  • Kerajaan komited memperkukuh kerjasama persekutuan dan negeri untuk menangani isu rakyat secara responsif dan berkesan.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerjasama erat itu menjadi kunci utama bagi menyelesaikan pelbagai isu legasi yang sebelum ini membelenggu rakyat, sekali gus memastikan pembangunan negara dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.

Beliau memberi contoh pembangunan infrastruktur besar seperti pembinaan Sistem Transit Pantas (RTS Link) dan Kolej Matrikulasi Terengganu yang pertama, yang berjaya dilaksanakan melalui penyelarasan baik antara kedua-dua pihak.

“Beberapa perkara penting seperti kenaikan gaji bagi penjawat awam yang tidak disemak sejak 2013 dan kenaikan gaji bagi hakim setelah sekian lama, telah berjaya dilaksanakan.

“Malah, usaha memulangkan peruntukan bagi Maahad Tahfiz dan sekolah agama juga hanya dilakukan di bawah Kerajaan Madani,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Komuniti Madani Johor di sini hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menambah, pencapaian tersebut membuktikan bahawa kestabilan politik dan kesefahaman antara peringkat persekutuan dan negeri mampu membuahkan hasil yang nyata bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Katanya, kerajaan akan terus komited memastikan hubungan kerjasama tersebut diperkukuh bagi memastikan lebih banyak isu rakyat dapat ditangani dengan lebih responsif dan berkesan.