Tabung Kasih HAWANA salur RM2.11 Juta, santuni 725 pengamal media

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil / BERNAMA

SEGAMAT, 19 April -Tabung Kasih Hari Wartawan Nasional (HAWANA) telah menyalurkan bantuan berjumlah RM2.11 juta sejak penubuhannya pada 2023, sebagai tanda pengiktirafan Kementerian Komunikasi terhadap pengamal media yang dianggap sebagai wira tidak didendang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyantuni 725 pengamal media terkesan oleh masalah kesihatan dan memerlukan sokongan kebajikan.
  • Akan disusuli bantuan tambahan termasuk fisioterapi melalui kerjasama Bernama dan Gabungan Kelab-Kelab Media Malaysia.
  • Inisiatif memberi jaminan masa depan kebajikan pengamal media serta pendedahan jasa mereka kepada umum.
  • Pesanan agar wartawan terutama berumur 40-an menjaga kesihatan kerana banyak terkesan penyakit tidak berjangkit.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif berkenaan telah menyantuni seramai 725 pengamal media di seluruh negara, khususnya mereka yang terkesan dengan masalah kesihatan dan memerlukan sokongan kebajikan.

“Setelah satu tempoh lama berkhidmat, kita akan susuli, mungkin dengan beberapa bantuan tambahan untuk fisioterapi dan beberapa perkara lain. Saya percaya dengan kerjasama baik di antara Bernama dengan Gabungan Kelab-Kelab Media Malaysia, lebih ramai yang memerlukan bantuan dapat kita bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih @ HAWANA kepada bekas wartawan Harian Metro, Ahmad Ismail, 67, di Kampung Lubok Batu, di sini hari ini.

Ahmad, yang memulakan kerjaya sebagai wartawan sejak awal 90-an, kini menghidap kencing manis dan darah tinggi sejak 2012, selain menanggung derita sakit saraf serta tulang rawan tergelincir (slip disc) sejak lapan tahun lalu.

Menzahirkan rasa syukur atas bantuan tersebut, Ahmad menyifatkan inisiatif itu sebagai jaminan masa depan terhadap kebajikan pengamal media di negara ini.

“Kebajikan pihak wartawan terjaminlah. Saya berharap kepada mereka terutama wartawan yang berumur 40-an, jagalah kesihatan kerana saya difahamkan kebanyakan wartawan ini terkesan dengan penyakit tidak berjangkit,” katanya.

Menurut Fahmi, sumbangan itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada umum mengenai jasa dan pengorbanan pengamal media yang bertugas tanpa jemu di sebalik lensa kamera serta laporan berita demi menyampaikan maklumat kepada rakyat.