71 peratus kawasan sepanjang laluan ETS terima liputan 5G

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/Foto Bernama

SEGAMAT, 19 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menjalankan ujian penilaian prestasi liputan selular 4G dan 5G di sepanjang laluan ETS dari KL Sentral ke Segamat.

RINGKASAN BERITA AI
  • 71 peratus kawasan sepanjang laluan telah dilengkapi perkhidmatan 5G, dengan beberapa lokasi luar bandar memerlukan penambahbaikan.
  • MCMC menjalankan 2,350 auditan dan mengeluarkan 280 notis pematuhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kepada syarikat telekomunikasi.
  • MCMC menasihati penyedia melaksanakan pengoptimuman lanjut; orang ramai digalakkan guna aplikasi MCMC NEXUS untuk menguji kelajuan internet.

Turut serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagi memantau prestasi rangkaian secara masa nyata di koridor pengangkutan utama negara.

“Inisiatif ini merupakan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kestabilan capaian komunikasi di sepanjang laluan pengangkutan awam kritikal.” katanya.

Menurut kenyataan MCMC memaklumkan hasil ujian mendapati 71 peratus kawasan di laluan tersebut telah dilengkapi perkhidmatan 5G, manakala beberapa lokasi luar bandar memerlukan penambahbaikan.

MCMC menegaskan penyedia perkhidmatan perlu melaksanakan pengoptimuman lanjut bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang konsisten di sepanjang laluan berkenaan.

Sebanyak 2,350 auditan telah dijalankan dan 280 notis pematuhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dikeluarkan kepada syarikat telekomunikasi yang gagal mematuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan. ​

Ujian komprehensif tersebut merentasi lima wilayah dan negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Turut hadir sama ke program Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

Dalam pada itu, orang ramai disaran menggunakan aplikasi MCMC NEXUS bagi menguji kelajuan Internet di lokasi masing-masing bagi membantu MCMC memantau prestasi rangkaian.