
KUALA LUMPUR, 19 April – Sindrom Stevens-Johnson (SJS) berpunca daripada tindak balas tubuh terhadap ubat tertentu yang berbeza bagi setiap individu.
- Reaksi hipersensitiviti sistem imun boleh menjadi serius.
- Gejala melibatkan seluruh badan dan mukosa seperti mata serta bahagian dalam mulut, boleh menyebabkan luka.
- Segera dapatkan rawatan jika mengalami gejala supaya doktor boleh menilai dan melaporkan kepada pihak farmasi.
- Berhati-hati dengan produk makanan tambahan dan kecantikan tanpa pengawasan pakar; mungkin mengandungi bahan aktif pencetus reaksi serius.
Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Kulit, Dr. Sabrina Ab Wahab berkata, SJS berlaku apabila sistem imun badan menunjukkan reaksi alahan atau hipersensitiviti hingga menjadi lebih serius.
Menurut beliau, seseorang mungkin tidak menyedari mereka mempunyai alahan terhadap sesuatu ubat kerana reaksi tersebut boleh berlaku buat pertama kali tanpa petanda awal.
“Gejalanya melibatkan seluruh badan termasuk mukosa seperti mata dan bahagian dalam mulut sehingga menyebabkan luka,” katanya kepada RTM.
Justeru, rawatan segera amat diperlukan sekiranya seseorang mengalami gejala berkenaan.
“Penting untuk segera mendapatkan rawatan jika berlaku reaksi supaya doktor boleh melaporkannya kepada pihak farmasi dan menilai tindak balas badan terhadap ubat tersebut kerana ia boleh mencetuskan reaksi serius seperti SJS,” jelasnya.
Dr Sabrina turut menyuarakan kebimbangan terhadap lambakan produk makanan tambahan dan produk kecantikan yang dijual dipasaran tanpa pemantauan pakar.
Masyarakat diminta berhati-berhati kerana produk itu berisiko mengandungi bahan aktif yang boleh mencetuskan reaksi alahan serius seperti SJS.