Dua lagi petugas RTM berlepas ke Tanah Suci bagi liputan haji

Penerbit yang juga pelapor program Salam Baitullah musim ke-18, Mohd Rafael Ramlan / RTM

SEPANG, 19 AprilDua lagi petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM) berlepas ke Tanah Suci hari ini bagi menyertai pasukan liputan musim Haji 1447H/2026M menerusi penerbangan KT005.

RINGKASAN BERITA AI
  • Petugas berada pada tahap kesiapsiagaan mental dan fizikal, bersedia menghadapi cabaran serta krisis atau situasi luar jangka di Madinah.
  • Pendekatan liputan menekankan kedekatan dengan jemaah untuk gambaran lebih realistik dan menyentuh perasaan, selaras tema 'Jihad yang Terindah'.
  • Keseluruhan misi melibatkan 18 petugas media dari pelbagai agensi, menyalurkan maklumat haji tepat dan terkini; petugas bersyukur dan teruja.

Penerbit yang juga pelapor program Salam Baitullah musim ke-18, Mohd Rafael Ramlan berkata, beliau bersama rakan setugas kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi, merangkumi aspek mental dan fizikal sebelum memulakan tugas di Madinah.

“Untuk persediaan ketika ini, kami telah bersedia sepenuhnya untuk berlepas. Hari ini kami berdua akan berangkat ke Madinah, menyusuli dua rakan setugas yang telah selamat tiba di sana semalam.

“Kami menjangkakan cabaran yang lebih hebat di sana nanti, terutamanya dalam mendepani krisis atau situasi luar jangka, namun kami telah bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick (MHCC) di sini, hari ini.

Menurut Mohd Rafael, pendekatan liputan pada kali ini akan memberi tumpuan untuk berada lebih dekat dengan jemaah bagi memberikan gambaran yang lebih realistik dan menyentuh perasaan, selaras dengan tema ‘Jihad yang Terindah’.

Sementara itu, Penerbit Teknikal Salam Baitullah, Mohd Harith Airi Othman melahirkan rasa syukur dan teruja untuk memberikan pengalaman haji yang bermakna buat penonton setia RTM di tanah air.

“Debaran dan kegembiraan itu dirasakan hari ini. Harapan kami adalah untuk mewujudkan satu gambaran haji yang lebih mendalam dan bermakna buat seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Semalam, kumpulan pertama petugas media RTM yang terdiri daripada wartawan Muhammad Ameerul Hafiz Mohd Rosli dan jurukamera Wan Ahmad Dasuki Wan Abdul Hamed telah pun berlepas terlebih dahulu.

Secara keseluruhan, seramai 18 petugas media daripada pelbagai agensi terlibat dalam misi liputan haji tahun ini bagi menyalurkan informasi tepat dan terkini mengenai perjalanan ibadah rukun Islam kelima itu kepada masyarakat.