Banduan warga Pakistan lolos dari Penjara Sungai Buloh berjaya ditahan semula

Tahanan reman warga Pakistan yang menghadapi beberapa pertuduhan termasuk kes seksual terhadap kanak-kanak dan berkaitan imigresen berjaya ditahan semula pada semalam.

KUALA LUMPUR, 19 April – Seorang banduan yang meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu berjaya ditahan semula, menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Banduan meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April.
  • Beliau berjaya ditahan semula di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama, Selangor.
  • Penahanan hasil kerjasama pelbagai pihak; Polis Selangor merakamkan penghargaan.
  • Tindakan itu penting untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Ketua Polis Selangor Komisioner Polis (CP) Datuk Shazeli Kahar, berkata banduan warga Pakistan itu berjaya ditahan semula pada 18 April kira-kira pukul 5.00 petang di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama, Selangor.

Menurut beliau, kejayaan tersebut hasil kerjasama pelbagai pihak dalam membantu pihak berkuasa mengesan lokasi suspek.

“Sehubungan itu, Polis Selangor merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang membantu sehingga banduan terbabit berjaya ditangkap bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tindakan tersebut penting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Sebalum ini media melaporkan, polis giat memburu tahanan reman warga Pakistan yang menghadapi beberapa pertuduhan termasuk kes seksual terhadap kanak-kanak dan berkaitan imigresen, selepas melarikan diri pada 9 April lalu dari Penjara Sungai Buloh.

Pada hari kejadian, tahanan reman itu baru selesai menjalani prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam berkaitan kes seksual terhadap kanak-kanak, rompakan dan kesalahan imigresen.